Bajet 2024: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju supaya liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000 selaras pindaan Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi sektor swasta.
Perdana Menteri berkata, kenaikan had siling gaji ini membolehkan kadar bayaran faedah di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja meningkat sehingga 50 peratus atau sekitar RM1.6 juta.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu akan membolehkan penjawat awam atau waris menikmati tuntutan pampasan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan semasa bertugas.
“Kerajaan menyarankan majikan swasta turut sama mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa.
“Tahun hadapan, kerajaan akan mula mempergiat sesi libat urus. Saya menyeru pihak swasta untuk memberi ganjaran, terutamanya syarikat yang mempunyai keuntungan yang munasabah,” kata Anwar ketika membentangkan Bajet 2024 di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri juga mengumumkan kerajaan bersetuju memperluas Kemudahan Bantuan Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi untuk meliputi pakaian batik Malaysia bagi semua penjawat awam yang layak.
“Ini sebagai langkah menggalakkan penghasilan batik Malaysia yang berkualiti tinggi,” katanya.