KUALA LUMPUR: Peruntukan lebih RM200 juta dalam Bajet 2024 kepada Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memperkasa jaringan perlindungan sosial dan memacu pasaran buruh selari dengan usaha kerajaan pusat ke arah agenda reformasi struktur.
Peruntukan dana daripada Belanjawan 2024 itu antara lain meliputi pelaksanaan enam inisiatif, termasuk pengenalan dua inisiatif baharu iaitu memudahkan integrasi kumpulan sasaran ke sektor awam dan peningkatan siling gaji dinsuranskan dari RM5,000 ke paras baharu iaitu RM6,000 untuk Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 serta Akta Sistem Insurans Pekerjaaan 2017.
Peruntukan itu diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dalam Bajet 2024 yang dibentangkan semalam.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, kenaikan siling gaji diinsuranskan ke paras baharu ini akan berkuat kuasa selepas pindaan terhadap kedua-dua peruntukan akta berkenaan, sekali gus dijangka meningkatkan faedah tunai sebanyak 20.2 peratus bagi 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka jika ditimpa bencana kerja, keilatan, kematian atau kehilangan pekerjaan.
Kedua-dua usaha itu, kata beliau, diyakini menjadi pemangkin sinergi keselamatan sosial, selain mewujudkan persekitaran pasaran buruh yang menepati prinsip kesaksamaan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, tekad kerajaan pusat dalam memaknai keutuhan perlindungan sosial rakyat juga dicerminkan menerusi penambahbaikan dua inisiatif sedia ada yang dilanjutkan, iaitu geran padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan peruntukan RM100 juta dan tanggungan kerajaan dinaikkan kepada 90 peratus berbanding 80 peratus sebelum ini serta pembiayaan caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menerusi peruntukan RM50 juta.
Menurut Sivakumar, dua lagi inisiatif yang turut dilanjutkan adalah Program Latihan Bina Kerjaya (RM35 juta) dan skim sokongan pekerjaan di sektor swasta (RM30 juta), dengan tiga golongan sasar digariskan iaitu orang kelainan Upaya (OKU), bekas banduan dan warga emas.
Dasar pengambilan pekerja OKU sebanyak satu peratus akan diperluaskan kepada bekas banduan dan warga emas untuk dilaksanakan di pelbagai kementerian, GLIC dan GLC serta rakan strategik Kerajaan, tambah beliau.
“Pemerkasaan dasar ini akan disokong menerusi peranan pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso dan platform portal perkhidmatan pekerjaan negara MYFutureJobs yang dilengkapi dengan kebolehan ‘Artificial Intelligent’ yang dapat memastikan pemadanan pekerjaan yang cekap serta bersesuaian dengan golongan ini dapat dilakukan seterusnya mengurangkan tempoh penempatan pekerjaan bagi golongan tersebut,” katanya.
Sivakumar juga berkata, pelaksanaan rangkaian inisiatif yang terkandung dalam inti pati Belanjawan 2024 di bawah Kementerian Sumber Manusia menerusi Perkeso akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa demi menjamin aspek keberkesanan, selari hasrat kerajaan yang mahu memperketatkan aspek tatakelola.