Bajet 2024: Akaun Fleksibel diperkenal, KWSP distruktur semula

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan distruktur semula dalam usaha memperkasa simpanan persaraan.

BAJET 2024: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan distruktur semula dalam usaha memperkasa simpanan persaraan.

Menteri Kewangan memberitahu Parlimen semalam, Akaun Fleksibel KWSP akan diperkenalkan yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa.

Ia adalah antara tumpuan kerajaan dalam Belanjawan Madani 2024 dalam menambah baik perlindungan sosial golongan tumpuan.

Beliau juga berkata had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada RM500 setahun terhad kepada RM5,000 seumur hidup.

“Had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Suri KWSP ditingkatkan kepada RM300 setahun terhad kepada RM3,000 seumur hidup,” kata beliau ketika membentangkan Bajet 2024 di Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan akan meneruskan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dengan peruntukan RM50 juta yang akan memanfaatkan lebih 400,000 suri rumah wanita yang berdaftar di bawah eKasih.

“Atas dasar kasih dan sayang, program i-Sayang KWSP akan diperluas untuk turut membolehkan isteri memindahkan dua peratus caruman KWSP syer pekerja kepada suami,” katanya.

Kerajaan juga akan meningkatkan siling gaji bulanan bagi caruman PERKESO daripada RM5,000 kepada RM6,000 yang sekali gus akan meningkatkan faedah tunai pada kadar 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka.

Selain itu, katanya, kadar tanggungan kerajaan di bawah Skim

Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan ditingkatkan kepada 90 peratus dengan peruntukan RM100 juta.

“Saya menyeru syarikat pengendali untuk menanggung baki 10 peratus caruman bagi pihak pekerja gig. Saya yakin syarikat pengendali platform amat prihatin dengan kebajikan pekerja mereka,” kata beliau.

Bajet 2024 merupakan kedua selepas menerajui Kerajaan Perpaduan selaku Perdana Menteri dan menyandang jawatan Menteri Kewangan.