Anwar umum Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM250-RM500

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalam dengan orang ramai ketika singgah di bazar Ramadan Masjid Sultan Ahmad di Kemaman, Terengganu semalam. – Foto ihsan FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kakitangan kerajaan akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri RM500, umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Insentif itu adalah bagi kakitangan Gred 15 ke bawah (Skim Saraan Perkhidmatan Awam) dan Gred 56 ke bawah (Sistem Saraan Malaysia).

Dalam pada itu, sebanyak RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran kali ini akan membabitkan implikasi kewangan RM900 juta yang memanfaatkan dua juta penjawat awam dan pesara.

“Kerajaan berharap pemberian bantuan ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam serta pesara dan menjadi pemangkin untuk berkhidmat penuh dedikasi,” kata beliau menerusi kenyataan media.

Pada 13 Mac lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan menyalurkan BKK Aidilfitri kepada penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, pemberian BKK itu bagi meringankan beban perbelanjaan sempena Syawal.

Selain Cuepacs, Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) dan Persatuan Bekas Penjawat Awam Se-Malaysia (Pejasma) memohon agar Bantuan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 sebanyak RM350 diberikan kepada pesara kerajaan Gred 56 dan ke bawah sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilftri.

Presidennya, Datuk Abd Rahman Manan berkata, Perdana Menteri diharap akan mempertimbangkan permohonan itu memandangkan kos harga barang terus mengalami kenaikan.

Sementara itu, guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan takmir, imam, bilal, tok siak serta noja dan marbot masjid seluruh negara turut menerima BKK Aidilfitri berjumlah RM250.

Anwar memberitahu, pemmberian BKK Aidilfitri melibatkan 70,000 orang itu akan dilunaskan pada minggu depan.

“Malam ini saya hendak tambah guru Kafa, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbot juga terima (BKK Aidilfitri) RM250.

“Ia akan dibayar minggu depan sebelum Aidilfitri,” kata beliau pada majlis Berbuka Puasa bersama Rakyat Terengganu.

Dipetik KOSMO!, Anwar berkata, pemberian BKK Aidilftri kepada golongan terbabit melibatkan peruntukan tambahan RM17 juta.