Anwar: Gaji kumpulan pelaksana naik 15%, pengurusan tertinggi 7%

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Putrajaya, hari ini.Foto ihsan FB Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yangmenggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember ini menyaksikan penjawat awam akan menikmati pelarasan gaji di antara tujuh hingga 15 peratus.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di sini, hari ini.

Menurut Anwar, penjawat awam kumpulan pelaksana akan menikmati kenaikan sebanyak 5 peritus mmanakala pengurusan tertinggi akan menerima kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus berdasarkan pelaksanaan SSPA.

Bagaimanapun pelarasan itu akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini manakala fasa seterusnya akan bermula 1 Januari 2026.

Jelasnya, kerajaan terpaksa melaksanakan pelarasan terbabit secara berperingkat disebabkan kekangan dan untuk mengelakkan tekanan inflasi.

“Pelarasan gaji bagi pegawai kumpulan pelaksana, pegawai kumpulan pengurusan dan profesional adalah sebanyak lapan peratus pada pertama dan tujuh peratus pada fasa kedua.

“Bagi kumpulan pengurusan tertinggi, kadar kenaikan adalah sebanyak empat peratus bagi fasa pertama dan tiga peratus pada fasa kedua,” katanya di sini, hari ini.

Anwar juga berkata, julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8 hingga 42.7 peratus, mengambil kira faedah berganda.

“Sebagai contoh, seorang guru yang berkhidmat selama lima tahun dengan pendapatan bulanan RM3,838 akan menerima pelarasan gaji sebanyak lapan peratus pada fasa pertama, menjadikan pendapatan bulanannya kepada RM4,085.04.

“Bagi fasa kedua pada Januari 2026 pula, guru akan menerima pelarasan tambahan sebanyak tujuh peratus, menjadikan pendapatan bulanan mereka kepada RM4,559.24,” katanya.

Contoh lain, seorang pegawai polis gred YA1 dengan pendapatan bulanan RM2,256 akan menerima pelarasan gaji sebanyak RM240, meningkat kepada RM2,496 manakala pada fasa kedua, pendapatannya akan meningkat kepada RM2,726.02.

Katanya, kaedah dan formula untuk pengiraan pelarasan akan dijelaskan secara terperinci oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada sesi libat urus akan datang.

“Seperti penjawat awam sedang berkhidmat yang akan diselaraskan gaji pada Disember ini, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara.

“Turut dipertimbangkan, pengorbanan dan bakti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Jadi bagi veteran ATM tidak berpencen, Bantuan Sara Hidup (BSH) akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi yang layak,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pelarasan gaji penjawat awam dianggarkan mencecah lebih RM10 bilion setahun, namun jumlah sebenar akan diperincikan dan dibentangkan pada Belanjawan 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pegawai-pegawai tertinggi perkhidmatan awam dan kaitangan awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19. – Foto ihsan FB Pejabat Perdana Menteri

Sistem berteraskan prestasi

Dalam pada itu, Anwar berkata, SSPA bukan pembaharuan dan peningkatan pendapatan penjawat awam semata-mata, sebaliknya ia adalah sistem berteraskan prestasi dan tatakelakuan.

Kata beliau, mana-mana penjawat awam yang cemerlang akan mendapat ganjaran manakala sesiapa yang gagal mempamerkan prestasi baik, akan dikenakan tindakan.

“Sebagaimana yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan layanan yang sama kepada semua terutama dalam aspek ganjaran dan pengiktirafan.

“Saya mahu mesejnya jelas supaya penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas, sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan ketua jabatan tidak akan diberikan ganjaran,” katanya.

Anwar berkata, pelaksanaan SSPA pada Disember ini adalah berdasarkan tiga intipati reformasi, termasuk untuk meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

“Kedua adalah untuk meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan dan ketiga adalah untuk meningkatkan daya saing negara,” katanya.

Justeru, Anwar berkata, dalam aspek pengurusan dan pembangunan bakat, kerajaan bersetuju menambah baik aspek pengurusan prestasi, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib.

Katanya, ia membabitkan penambahbaikan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A)395], antara lain mewujudkan peraturan baharu bagi menangani isu kegagalan tadbir urus pengurusan kewangan awam dan pengukuhan prosedur tatatertib lebih tegas bagi pegawai tidak hadir bertugas.

“Pelaksanaan sistem penilaian prestasi tahunan yang baharu bagi menggantikan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) kepada sistem MyPERFORMANCE yang berasaskan kepada aspek kompetensi dan nilai serta menitikberatkan lima prinsip, iaitu adil, objektif, telus, relevan dan kebolehasingan.

“Penambahbaikan kriteria kelayakan Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) iaitu hanya kepada pegawai yang mencapai tahap prestasi yang memuaskan dan lulus tapisan tatatertib,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, markah penilaian prestasi tahunan bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat ditingkatkan daripada 80 kepada 85 peratus.

“Markah penilaian prestasi tahunan untuk layak menerima PGT dinaikkan daripada 60 kepada 75 peratus. Markah minimum ini juga akan digunakan untuk menentukan pegawai berprestasi rendah yang boleh dimasukkan ke dalam Dasar Pemisah (Exit Policy) penamatan perkhidmatan.

“Jadi tempoh pemprosesan urusan di bawah Dasar Pemisah dikurangkan daripada 36 bulan kepada 18 bulan,” kata beliau.