KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pelbagai ugutan daripada kumpulan ‘geng kaya’ yang dikatakan bersuhabat mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh beliau.
Kerajaan Perpaduan dibentuk susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 pada November lalu.
Tanpa mendedahkan secara terperinci siapa dimaksudkan dengan ‘geng kaya’ itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberitahu bahawa beliau tidak terkesan dengan ugutan seumpama itu.
Sebaliknya tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau akan terus lawan untuk mempertahankan prinsipnya demi rakyat.
“Saya lalui liku-liku hidup susah dan orang Permatang Pauh juga faham. Ketika ini hutang negara cecah RM1.5 trilion menjadikan keadaan susah.
“Jadi kita perlu bersihkan negara ini daripada kerja-kerja rasuah yang menyebabkan pelbagai ugutan saya terima daripada geng-geng kaya yang sedang berpakat dengan menggunakan agenda ‘Hidup Melayu’.
“Saya tiada masalah… yang mana saya kini lawan tetap lawan untuk mempertahankan prinsip ini,” kata beliau ketika berucap pada majlis kenduri korban di Masjid Jamek An Nur Kampung Guar Perahu dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Ahli Parlimen Tambun itu menambah, sepanjang tujuh bulan mentadbir beliau juga tidak menggunakan apa-apa kelebihan untuk memberi kekayaan kepada isteri dan anak-anaknya.
Anwar juga mengulangi bahawa beliau juga tidak mempunyai sebarang dendam terhadap mana-mana individu khususnya pemimpin kerajaan terdahulu sepertimana didakwa.
“Orang kata Anwar ini tidak ada kerja lain, cakap pasal rasuah sebab nak balas dendam.
“Saya tak dendam, siapa yang disiasat oleh SPRM, dia yang jawab dan jelaskan serta bukan saya yang arahkan.
“Ini setiap kali ada kes rasuah, kata Anwar yang arahkan sedangkan (saya) ada banyak kerja lain perlu buat,” kata beliau lagi.
Anwar juga berkata beliau bersedia memberi kerjasama, termasuk disiasat mana-mana pihak berkuasa sekiranya beliau didapati terlibat dalam kes rasuah.
Tegasnya, selama tujuh bulan diberikan amanah mentadbir negara, tiada satu kepentingan pun diberikan kepada keluarganya.
“Kalau kata saya terlibat kes rasuah, gunakan wang mengayakan Wan Azizah, Nurul Izzah dan anak-anak. Itu boleh bawa (lapor kepada pihak berkuasa),” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana menteri serta timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan mahupun bekas menteri sekiranya mereka terlibat dalam kes rasuah.
Anwar berkata, komitmennya untuk membanteras amalan rasuah diterima baik dan tidak pernah dibantah oleh setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk segala perancangan untuk setiap pembangunan di negara ini.
“Dalam kerajaan ada UMNO, Barisan Nasional, DAP, GRS dan GPS. Belum pernah saya dapat sekalipun apa-apa bantahan daripada mereka, sama ada untuk pembangunan umat Islam, tata kelola dan banteras rasuah.
“Saya dengar bantahan dari luar sahaja, tidak hadapi masalah sebab kita melakukan perbincangan. Maka berilah peluang kita mentadbir negara ini kerana ia hampir rosak. Siapa jadi menteri semua kaya-raya, itu kena tukar,” kata beliau lagi.