Amaran KP: Individu lengkap 2 dos vaksin jangan salah guna hak istimewa

Amaran KP Individu lengkap 2 dos vaksin jangan salah guna hak istimewa
Amaran KP Individu lengkap 2 dos vaksin jangan salah guna hak istimewa

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan individu yang sudah lengkap dua dos vaksin tidak menyalahgunakan hak istimewa atau kelonggaran sekatan yang diberikan kerajaan.

Beliau berkata sekiranya rakyat leka, segala kerja keras dan keuntungan yang dicapai di negara ini akan disia-siakan.

“Jika rakyat tidak memanfaatkan kelonggaran yang diberikan, berkemungkinan negara ini akan menghadapi satu lagi ‘pertempuran’ dengan virus.

“Kita perlu ingat masih ada sebahagian daripada rakyat di negara ini belum divaksin. Mereka ini mudah terkena jangkitan Covid-19,” katanya di Twitternya.

Dalam pada itu, Hisham berkata semua pihak perlu memastikan kadar transmisi serendah mungkin bagi mencegah penyebaran varian atau munculnya varian baharu.

Katanya, bagi individu yang sudah menerima vaksin lengkap, perlu ada disiplin yang tinggi untuk tidak menyalahgunakan hak istimewa yang diberikan.

“Sekiranya anda disahkan positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat kepada kes positif, pastikan menjalani pengasingan atau kuarantin dalam kadar segera supaya tidak mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan,” katanya.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran SOP diberikan kepada penerima lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya terpakai buat penerima dos lengkap yang melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua (vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac).

Antara kelonggaran diberikan termasuk untuk ‘dine-in’ dibenarkan di restoran dan kedai makan dengan pelanggan perlu menunjukkan sijil digital vaksin lengkap.

Kelonggaran juga diberikan bagi 11 sektor ekonomi termasuk operasi pasar malam serta kedai gunting rambut, selain sukan dan rekreasi tertentu di tempat terbuka.

Selain itu, individu yang divaksin sepenuhnya diberi kelonggaran untuk melakukan perjalanan melebihi 10km di kawasan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

SOP yang dikemas kini itu turut menyatakan individu divaksin sepenuhnya kini boleh melakukan perjalanan mengikut kapasiti penuh kenderaan mereka, berbanding peraturan hanya dua orang dalam kereta sebelum ini.

Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negri Sembilan, Melaka, Johor dan Kedah masih di bawah Fasa 1 PPN.

Leave a Reply