Ahli Majlis dakwa MTUC langgar 13 perkara, nasihatkan PM tidak rasmi TDC esok

Seorang ahli Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia mendakwa badan induk telah melanggar 13 perkara dalam proses mengadakan Persidangan Tiga Tahunan dua mulai esok.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dijadualkan akan hadir sebagai tetamu kehormat pada Persidangan Tiga Tahunan (TDC) esok, agar tidak hadir untuk merasmikan kerana pertemunan itu diadakan secara tidak sah.

Dalam kenyataan pagi ini, A Sivananthan berkata, TDC dua hari mulai esok tidak sah kerana pegawai-pegawai utama TDC telah melanggar sebanyak 13 peruntukan dalam Perlembagaan MTUC.

“Malah kehadiran dan ucapan Perdana Menteri pada Persidangan ini tidak dibentangkan di mana-mana mesyuarat Majlis Am.

“Kami berpendapat bahawa TDC ini mesti ditangguhkan, jika tidak Perdana Menteri bukan sahaja akan menghadiri TDC yang tidak sah, tetapi beliau juga akan dilihat sebagai merelakan pencabulan Perlembagaan MTUC oleh kepimpinan semasa,” kata beliau yang mewakili Kesatuan Pekerja-pekerja Tekstil dan Pakaian Johor.

Sivananthan (foto) juga berkata, pihaknya ingin menasihatkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya berhenti daripada merestui pelbagai pelanggaran Perlembagaan MTUC oleh kepimpinan semasa.

Beliau menyenaraikan pelanggaran-pelanggaran dilakukan oleh MTUC, iaitu:

  • TDC yang dijadualkan pada 2 dan 3 Julai 2022 dipanggil secara tidak sah oleh Pegawai-pegawai yang melanggar Perlembagaan kerana TDC hanya boleh diadakan dalam tempoh Oktober hingga Disember tahun ia perlu mengadakan Persidangan. Dengan itu, ia telah melanggar Peraturan Fasal 7 6(7).
  • Tarikh, tempat, dan agenda TDC tidak diputuskan oleh Majlis Am – Pelanggaran Fasal 7 Peraturan 6(7).
  • Perwakilan dinafikan Laporan Tiga Tahunan MTUC dan penyata akaun yang telah diaudit untuk tahun 2020, 2021 dan 2022 – Pelanggaran Fasal 7 Peraturan 6(8).
  • Setiausaha Agung telah gagal untuk menghantar agenda lengkap kepada ahli-ahli gabungan dalam tempoh 14 hari sebelum Persidangan – Pelanggaran Fasal 7 Peraturan 6(13).
  • Mengikut Lampiran E, di bawah Peraturan Tetap TDC, Setiausaha Agung hendaklah membentangkan Laporan Majlis Am, yang perlu diutamakan berbanding semua urusan Persidangan yang lain. Bagaimanapun, tiada laporan sedemikian dibentangkan di Majlis Am sebelum TDC. Laporan Majlis Am penggal sebelum ini juga tidak dibentangkan seperti yang diarahkan oleh RoS.
    Berkenaan dengan hal kewangan MTUC, pelanggaran selanjutnya telah dilakukan oleh kepimpinan MTUC semasa, iaitu:
  • Setiausaha Kewangan tidak membentangkan Penyata Akaun pada setiap prosiding mesyuarat suku tahunan Majlis Am – Pelanggaran Fasal 10 (8).
  • Majlis Am tidak menerima sebarang penyata akaun tahunan MTUC yang telah diaudit untuk tahun 2020, 2021 dan 2022, dan ini juga tidak dibentangkan kepada Kesatuan gabungan untuk dibahaskan – Pelanggaran Fasal 11.
  • Setiausaha Agung kesatuan-kesatuan gabungan tidak diberikan penyata yang telah diaudit untuk tahun 2020, 2021 dan 2022 sebelum TDC yang dijadualkan oleh kepimpinan MTUC – Pelanggaran Fasal 10 Peraturan 13(1).
  • Kepimpinan MTUC telah gagal menghantar penyata akaun telah diaudit kepada setiap Kesatuan gabungan tidak kurang daripada 14 hari sebelum TDC – Pelanggaran Klausa 10 Peraturan 13(1).
  • Setiausaha Kewangan telah gagal menyediakan Anggaran Tahunan Pendapatan dan Perbelanjaan – Pelanggaran Fasal 10(11).
  • Semua pembayaran hendaklah dibuat mengikut Anggaran Perbelanjaan yang diluluskan dan dicaj dengan sewajarnya dalam akaun MTUC di bawah tajuk dan subtajuk anggaran yang sepatutnya yang diluluskan oleh Persidangan Perwakilan, tetapi ini tidak dilaksanakan – Pelanggaran Fasal 10(10).
  • Laporan kewangan yang telah diaudit untuk tahun 2017, 2018 dan 2019 telah disahkan oleh Pegawai-pegawai Utama yang tidak sah; ia satu bentuk penipuan.
  • Aset Tetap dan Deposit Tetap tidak ditunjukkan dalam Kunci Kira-kira, yang merupakan salah nyata penyata kewangan.

Sivananthan menambah, kesemua pelanggaran tersebut dilakukan tanpa kelulusan RoS, tidak seperti pada penggal sebelumnya apabila RoS mengarahkan hanya pemilihan diadakan disebabkan pandemik.

“Banyak pelanggaran yang telah dilakukan oleh pimpinan MTUC memberi gambaran bahawa pemilihan pucuk pimpinan telah diutamakan berbanding perkara-perkara lain,” kata beliau.