AEON Malaysia naikkan gaji minimum lebih awal disyorkan kerajaan

Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengarah Komunikasi Korporat AEON Malaysia, Dr Kasuma Satria Mat Jadi.

KUALA LUMPUR: AEON Co (M) Bhd dan AEON BiG (M) Sdn Bhd mengumumkan kenaikan gaji minimum untuk pekerja Gred G daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Syarikat itu berkata, jumlah tersebut adalah gaji pokok yang belum termasuk elaun atau insentif lain.

Kali terakhir gaji minimum yang dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan peningkatan daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan ketika pembentangan Bajet 2020.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, AEON Malaysia berkata, tarikh berkuat kuasa gaji minimum oleh AEON Malaysia adalah lebih awal dari tarikh yang disyorkan oleh kerajaan iaitu sehingga hujung tahun 2022.

Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengarah Komunikasi Korporat AEON Malaysia, Dr Kasuma Satria Mat Jadi berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan kebajikan pekerja dan menyambut baik saranan Kementerian Sumber Manusia.

Kata beliau, syarikat amat bersyukur kerana dapat melaksanakan gaji minimum baharu kepada pekerja Gred G kami.

Beliau berkata, selari dengan inisiatif kelestarian AEON Sayap Bagimu yang berobjektifkan untuk memberi peluang, dorongan serta sokongan kepada pemegang taruh, khususnya mereka yang memerlukan.

“Keputusan yang diambil adalah berlandaskan kepada keprihatinan kami terhadap kebajikan mereka bagi membantu meringankan kos kehidupan yang dihadapi serta mendokong saranan oleh kerajaan yang kami sambut baik, justeru melaksanakannya secepat mungkin,” kata beliau.

Kasuma berkata, AEON Malaysia disokong oleh kira-kira 13,000 pekerja di seluruh negara daripada pelbagai gred.

“Dikenali sebagai ‘AEON Warriors’, mereka aset syarikat yang paling bernilai. Kebajikan dan kelangsungan kehidupan mereka adalah keutamaan kami.

“Melalui AEON Warriors, kami akan terus melaksanakan inovasi runcit baharu untuk kekal berdaya saing dalam menghadapi cabaran semasa dan yang paling penting, untuk kemudahan pelanggan. Kami berdiri teguh dan kekal bersatu untuk memainkan peranan dalam menjana ekonomi negara,” katanya.

Inisiatif AEON dalam melaksanakan kenaikan gaji minimum ini selaras dengan usaha memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 8), di mana fokusnya ialah menyediakan pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi.

Ia mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, inklusif dan mampan serta menyediakan pekerjaan yang sesuai untuk semua.

Minggu lalu, Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal memaklumkan langkah AEON Malaysia melaksanakan gaji minimum RM1,500 itu, dan menyambut baik langkah tersebut.