KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak bersetuju dengan Enakmen Negeri Johor yang akan menurunkan umur minimum 18 tahun untuk bertanding dalam pilihan raya negeri.
Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa had umur minimum kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masih kekal 21 tahun, bukannya 18 tahun yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) awal tahun ini.
“Ini kerana pindaan Enakmen yang lalu saya belum beri persetujuan, pada hemat saya cadangan turunkan had umur minimum tersebut adalah tidak selari dengan hala tuju kerajaan yang mahukan pemimpin berkualiti tinggi dan cukup ilmu pengetahuan.
“Namun begitu saya tetap sokong hak mengundi diberi kepada individu berusia 18 tahun keatas, tetapi untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) saya rasakan tidak sesuai,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat DUN semalam.
Sultan Ibrahim berkata, adalah tidak sesuai untuk mempunyai ADUN di bawah umur 21 tahun.
Pada 6 Januari lalu DUN Johor meluluskan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1985 (Pindaan) 2021 dengan undian sebulat suara.
Kelulusan itu menyaksikan Johor menjadi salah satu lagi negeri yang telah menurunkan had umur seseorang warganegara untuk layak menjadi ADUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Pindaan terhadap Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 itu diluluskan pada sesi Mesyuarat Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-14.
Ia susulan langkah Dewan Rakyat, pada 16 Julai 2019, meluluskan pindaan yang serupa.
Bagaimanapun Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lalu tidak menggunakan peruntukan itu.