Aduan ke atas HSBC: NUBE mahu kerajaan hormati, laksana teguran ILO

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengeluarkan pandangan hasil siasatan berhubung aduan dibuat oleh NUBE terhadap HSBC Bank Malaysia.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mahu kerajaan menghormati dan melaksanakan syor-syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kebebasan Berpersatuan (CFA), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung layanan buruk HSBC Bank Malaysia Berhad dalam isu-isu perhubungan industri melibatkan kesatuan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, NUBE menggesa Kerajaan melihat semula peranan utama mereka iaitu berkhidmat kepada Rakyat dan tidak bersekongkol dengan majikan asing yang mengeksploitasi pekerja.

“NUBE bersedia untuk perbincangan dan perundingan dengan Kementerian dan HSBC Bank Malaysia demi kepentingan terbaik pekerja-pekerja di HSBC Bank dan Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini susulan laporan hasil siasatan ILO terhadap aduan dibuat NUBE tahun lalu.

Dalam kenyataannya NUBE memetik ILO sebagai berkata, “kerajaan akan kekal bawah perhatian terhadap sebarang tindakan pembuangan pekerja masa depan atau langkah-langkah lain oleh pengurusan HSBC yang menyasarkan ahli-ahli NUBE, bagi memastikan tindakan-tindakan itu tidak didorong oleh sikap antikesatuan.”

Malah menurut kenyataan itu, “selain itu, NUBE juga dibolehkan menjalankan aktivitinya dalam persekitaran yang bebas dari gangguan, ancaman atau usaha untuk memburukkan kesatuan dan ahli-ahlinya.”

Solomon berkata, pandangan itu dikeluarkan oleh CFA, yang merupakan sebahagian daripada mekanisme dan fungsi penyeliaan ILO dalam Badan Pimpinan ILO, dan ia merupakan struktur tiga pihak – kerajaan, pekerja dan majikan.

Keputusan CFA telah diterima pakai oleh Badan Pimpinan ILO yang bermesyuarat di Geneva dua minggu lalu, kata Solomon.

Solomon menambah, Kerajaan Malaysia telah meratifikasi dan menerima pakai Konvensyen ILO No 98 Mengenai Hak Berorganisasi dan Perundingan Bersama.

“Walau bagaimanapun, ia gagal memberikan perlindungan yang mencukupi dalam undang-undang dan amalan, untuk mekanisme yang berkesan bagi memudahkan proses perundingan kolektif.

Oleh itu, NUBE telah memfailkan kes terhadap Kerajaan kerana tidak menghormati Konvensyen itu apabila gagal melindungi NUBE dan ahli-ahlinya dari gangguan, penganiayaan dan pembuangan pekerja oleh HSBC Bank Malaysia Bhd semasa proses perundingan kolektif yang merangkumi hak untuk piket dan tindakan perhubungan perusahaan,” kata beliau.

Tambah Solomon, tindakan HSBC Bank Malaysia telah membawa keburukan dan memalukan Kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa, dengan tindakan dan cara ia berurusan dengan para pekerjanya.

“Ia menambah senarai eksploitasi buruh oleh syarikat-syarikat di negara ini,” kata beliau lagi.

Menurut Solomon, CFA telah mengambil perhatian tindakan antikesatuan oleh HSBC Bank Malaysia, yang telah dengan sengaja menangguhkan rundingan dan menandatangani perjanjian kolektif dengan kesatuan itu selama bertahun-tahun.

“Ia telah melakukan kesalahan dengan mengganggu, memberhentikan dan memindahkan pekerja atas nama penyusunan semula ekonomi dan membuang pekerja dengan berselindung di sebalik memaksa pekerja agar menerima skim pemisahan sukarela (VSS) tanpa sebarang rundingan dengan Kesatuan yang mewakili pekerja.

“CFA telah memutuskan bahawa semua penstrukturan semula ekonomi berada dalam lingkungan perundingan kolektif dan sebarang tindakan sedemikian sepatutnya dirundingkan dengan kesatuan terlebih dahulu,” kata beliau.

Solomon menambah, kerajaan telah diminta untuk mengambil langkah yang perlu dan memudahkan rundingan antara NUBE dan HSBC Bank Malaysia.

“CFA telah meminta Kerajaan untuk melibatkan diri dengan pihak-pihak terbabit bagi menyelesaikan sebarang isu tertunggak mengenai dakwaan penamatan atau penggantungan ahli-ahli NUBE disebabkan sikap antikesatuan dan untuk memastikan bahawa, jika sesuai, remedi yang mencukupi disediakan kepada pekerja-pekerja yang terbabit, membenarkan pengembalian semula pekerjaan dan pampasan.

“HSBC telah secara tidak adil menamatkan perkhidmatan dua ahli NUBE kerana mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan berhubung pertikaian dengan bank,” katanya.

Malah menurut Solomon, lebih 300 rungutan dan pertikaian industri telah wujud sejak tiga tahun yang lalu di HSBC Bank Malaysia akibat ketidakcekapan dan kegagalan Kementerian Sumber Manusia dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya walaupun banyak rayuan telah dibuat oleh NUBE.

“Sejak aduan dibuat bermula Disember 2020, HSBC Bank Malaysia telah terus mengabaikan segala bentuk rundingan yang tulen, dan ia telah menolak dan menangguhkan mesyuarat untuk menangani masalah ahli-ahli kesatuan,” kata beliau.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon mengetuai piket menuntut HSBC Bank Malaysia menyelesaikan 300 pertikaian industri yang wujud sejak tiga tahun lalu.