Adakan kuota tetap untuk kesatuan individu dalam NLAC, syor NUTP

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengadakan perbincangan dengan barisan kepimpinan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sempena kunjungan ke badan itu tiga hari lalu. Foto ihsan NUTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), gerakan kesatuan terbesar di Malaysia, memohon agar kesatuan sekerja individu diperuntukkan kuota tetap dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

NUTP yang mempunyai lebih 300,000 ahli berharap perkara tersebut akan dipertimbangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bagi memberi suara yang lebih padu dalam badan tiga pihak itu.

Bercakap kepada Workers Times, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, sudah tiba masanya bagi kesatuan-kesatuan utama seperti NUTP diberikan kedudukan sebagai kesatuan sekerja utama dalam NLAC.

“Sebagai sebuah kesatuan terbesar dalam perkhidmatan awam, kami mengemukakan syor kepada Menteri Sumber Manusia agar diberi pertimbangan untuk melantik kesatuan sekerja utama sebagai anggota NLAC, untuk mewakili suara yang lebih besar,” kata beliau.

NLAC merupakan sebuah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi membolehkan Menteri Sumber Manusia mendapat nasihat, pandangan atau persetujuan mengenai perkara yang berkaitan dengan perburuhan dan sumber manusia.

Steven yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia Disember lalu, pada 19 Mac 2024 telah mempengerusikan mesyuarat pertama NLAC pada tahun ini. Kali terakhir mesyuarat NLAC diadakan ialah pada 15 Julai 2022.

NLAC adalah merupakan satu platform tiga pihak iaitu majikan, pekerja dan kerajaan yang membincangkan isu-isu berkaitan dasar, perundangan dan amalan perburuhan di negara ini.

Anggota-anggota mesyuarat yang mewakili majikan di antaranya termasuklah Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA), dan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM). Wakil pekerja pula termasuklah pemimpin CUEUPACS, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW).

Dalam pada itu, wakil pihak kerajaan pula dianggotai oleh pelbagai agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan dan KESUMA sendiri.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) juga pertama kali dilantik sebagai anggota NLAC awal tahun ini.

Fouzi juga berkata, NUTP juga berharap agar reformasi yang bakal berlaku tidak mengurangkan manfaat sedia ada dalam profesion keguruan khasnya laluan kenaikan pangkat secara ‘time-based’ guru.

Katanya, NUTP menyokong langkah kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan dalam perkhidmatan awam sebagaimana kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September lalu demi memastikan kualiti perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan dan relevan dengan keperluan semasa.

Tambah beiau, NUTP teruja dan berterima kasih kepada Steven kerana memilih NUTP dalam rangka kerja beliau berjumpa pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja.

Kunjungan berkenaan tiga hari lalu jelas menunjukkan kesungguhan dan komitmen Steven dan Kementerian Sumber Manusia untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia .

“Kunjungan ini memberikan satu harapan besar kepada pihak kesatuan dalam mengangkat dan membela nasib pekerja-pekerja di negara ini,” katanya.

Fouzi menambah, kunjungan beliau adalah satu penghormatan dan pemangkin untuk kerjasama yang lebih erat antara kesatuan sekerja dengan Kementerian Sumber Manusia.

“NUTP akan terus menyokong penuh idealisme dan hala tuju Kementerian Sumber Manusia serta bersedia bekerjasama dengan lebih erat bagi menjadikan perjuangan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan menjadi satu kenyataan,” kata beliau.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika mengadakan lawatan ke ibu pejabat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di Kuala Lumpur tiga hari lalu. Foto ihsan NUTP