KUALA LUMPUR: Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dilantik sebagai Gabenor baharu bank pusat.
Pelantikan itu berkuat kuasa mulai 1 Julai ini hingga 30 Jun 2028.
Abdul Rasheed akan mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus yang akan menyempurnakan tempoh perkhidmatan lima tahun beliau pada 30 Jun ini.
Kenyataan BNM menyebut, pelantikan Abdul Rasheed telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Abdul Rasheed mula berkhidmat di BNM pada 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada 2016.
Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak 2015.
Selain itu, beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2000-2010) dan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020 dan 2022-2026).
Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata, pelantikan sebagai Gabenor merupakan penghormatan kepada beliau dan akan menerus serta meningkatkan lagi usaha yang dilaksanakan oleh Nor Shamsiah.
Kata beliau, di bawah kepimpinan Nor Shamsiah, BNM terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan juga kewangan meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik.