A. Sivananthan meninggal dunia, pemimpin kesatuan sanjung sumbangan beliau

A. Sivananthan yang terlibat dalam gerakan kesatuan sekerja lebih empat dekad dan disifatkan sebagai aktiviti pekerja yang disegani telah meninggal dunia semalam.

KUALA LUMPUR: A. Sivananthan yang terlibat dalam gerakan kesatuan sekerja dengan aktif lebih empat dekad dan disifatkan sebagai aktiviti pekerja yang komited lagi berpengetahuan luas, telah meninggal dunia.

Beliau yang berusia 72 tahun menghembuskan nafas terakhirnya semalam, kata beberapa pemimpin kesatuan sekerja kepada Workers Times.

Mereka menyifatkan mendiang yang telah memberikan sumbangan tanpa kira masa dan penat sehingga penghujung hayat sebagai pejuang pekerja yang tulen dan akan diingati sepanjang masa.

Bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, NUPCIW mengucapkan salam takziah kepada keluarga Sivanathan di atas pemergian mendiang.

“Pemergian beliau satu kehilangan sebagai sahabat, teman sekerja, teman bergurau dan teman seperjuangan. Semoga mendiang dapat berehat dengan tenang,” kata beliau yang juga Presiden NUPCIW.

Kata Halim, kali terakhir beliau berbual dengan mendiang adalah awal tahun ini.

“Masa itu beliau masih aktif dalam memperjuangkan isu-isu pekerja… kemudian tidak menghubungi saya, dan saya difahamkan beliau kurang sihat selepas itu,” kata beliau.

Beliau yang dikenali dengan panggilan mesra sebagai “Siva” pernah menyandang jawatan Naib Presiden dan Setiausaha Kewangan MTUC. Sejak awal beliau mengetuai kesatuan sekerja membabitkan pekerja-pekerja tekstail.

Dalam pada itu, Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata: “Bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif UNI-MLC, kami melahirkan salam takziah kepada keluarga mendiang,” kata beliau.

Beliau juga menyifatkan mendiang seorang tokoh kesatuan sekerja yang telah banyak berjasa kepada pekerja-pekerja negara ini.

Selain dalam MTUC, beliau pernah menganggotai Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) dan beberapa organisasi lain termasuk membantu UNI-MLC dalam kes-kes di mahkamah persekutuan, kata Mohamed Shafie, yang merupakan bekas Timbalan Presiden MTUC.