Tarikh pelaksanaan tertangguh, MTUC mahu gaji minimum dinaikkan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum atas alasan tarikh pelaksanaan itu telah berlalu.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum kerana tarikh akhir pelaksanaan sudah pun berlalu.

Kata beliau, kenaikan gaji minimum sepatutnya dilakukan pada 1 Januari lalu.

“MTUC menggesa kerajaan untuk menaikan gaji minimum yang sepatutnya berlaku pada 1 Januari 2022 selaras dengan Akta Gaji Minimum yang memerlukan kajian dibuat sekali dalam dua tahun. Kenaikan terakhir berlaku pada 1 Januari 2020,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut Kamarul, MTUC menunggu pengumuman kerajaan berkaitan dengan kenaikan gaji minimum yang baru tetapi telah dikejutkan dengan pengumuman kenaikan tarif elektrik kepada penguna bukan domestik yang diumumkan.

Bulan lalu, beliau menggesa kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dan elaun sara hidup minimum bulanan kepada RM300 untuk semua pekerja pada 2022.

Kamarul berkata, kenaikan tarif elektrik kepada pengguna bukan domestik kerana dikenakan surcaj akan memberi kesan terhadap kenaikan barangan lain.

“Pihak industri akan memindahkan kos kenaikan tarif kepada pengguna dan akhirnya pengguna akan terjejas,” kata beliau lagi.

Kamarul menambah, kenaikan gaji minimum dan kenaikan tarif elektrik memberikan kesan dan impak kepada golongan pekerja.

“Bagaimana kerajaan dapat mengekang kenaikan barangan yang akan datang sedangkan barangan kawalan seperti minyak masak telah dijual melebihi harga kawalan,” katanya.

Kamarul memetik laporan gaji pekerja pembersihan di Singapura yang mencecah RM10,000 yang boleh dijadikan panduan kepada kerajaan mengkaji kaedah gaji minimum di Malaysia.

“MTUC akan berhubung dengan Kesatuan di Singapura bagi mendapatkan penjelasan dan kaedah yang terbaik dalam perlaksanaan gaji minimum yang baru,” katanya.

Ujar beliau, MTUC juga prihatin dengan keadaan isu pekerjaan semasa.

“Selain isu gaji minimum yang masih tertangguh, kerajaan perlu mengambil langkah yang proaktif dalam isu buruh paksa, pindaan Akta Kerja, Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Mesyuarat Majlis Tindakan Buruh Kebangsaan yang tidak diadakan semenjak setahun yang lalu dan beberapa isu lain yang tertunggak.”