Tidak boleh keluar i-Citra, PM kata ‘saya tidak terkesan dengan makian, hinaan’

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhadpaan dengan kritikan berhubung isu pengeluaran skim i-Citra KWSP. – Foto ishan Nikkei Asia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak akan terkesan dengan kritikan dan hinaan ekoran pendirian beliau tidak membolehkan pengeluaran susulan melalui skim i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu mangsa banjir, yang dibuat di media sosial.

Sebaliknya menurut beliau, fokusnya yang lebih utama ketika ini adalah terus bekerja menjaga kepentingan rakyat.

“Yang tidak berpuas hati akan terus tidak berpuas hati. Yang memaki hamun akan terus membuat kerja mereka.

“Saya kerja saya menjaga kepentingan rakyat dan tugas orang untuk memaki dan menghina melalui media sosial (berhubung i-Citra) itu tugasnya.

“Saya tidak terkesan, yang hendak hentam terserah kepada mereka. Ia tidak menyekat tugas saya untuk terus bertugas demi kepentingan rakyat,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan sedar kehidupan mangsa-mangsa banjir pada beberapa bulan mendatang adalah amat mencabar dan memerlukan sokongan semua untuk bangkit semula membina kehidupan.

Katanya, kerajaan komited memastikan bantuan-bantuan yang bakal disalurkan ditambah baik supaya lebih menyeluruh dan dapat segera disampaikan kepada mereka memerlukan.

Kata Ismail Sabri, keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa banjir mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) dan ia merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang KWSP.

Perdana Menteri berkata, dengan usaha tersebut, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar lima peratus sekali gus mereka boleh merancang masa depan selepas bersara.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, semua pihak tidak sewajarnya melihat simpanan persaraan dalam KWSP sebagai satu-satunya penyelesaian kepada sesuatu cabaran.

Dalam satu video dimuat naik ke akaun Facebookm beliau berkata, tujuan penubuhan KWSP tidak lain hanya sebagai persediaan kepada hari tua rakyat apatah lagi Malaysia bakal mencapai negara tua menjelang tahun 2030.

Menurut beliau, tiga program pengeluaran simpanan KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra diperkenalkan kerajaan sebelum ini hanyalah sebagai langkah jangka masa pendek serta bersifat sementara akibat pandemik.

Secara keseluruhan, beliau berkata, banyak bantuan telah dihulurkan kerajaan bagi membantu rakyat, tidak kira sama ada akibat bencana mahu pun COVID-19.

Kata Tengku Zafrul, desakan menuntut pengeluaran tambahan simpanan KWSP dilihat sebagai modal politik mudah.

Bagaimanapun, kata beliau, tuntutan tersebut tidak dibuat dengan sikap bertanggungjawab dan dilakukan secara melulu tanpa analisis serta perkiraan rapi.

“Setakat hari ini, melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, setiap ahli KWSP telah dibenarkan untuk mengeluarkan sehingga RM71,000, jumlah yang bukan sedikit.

“Kalau kita terus benarkan pengeluaran, apa akan jadi kepada simpanan hari tua mereka.

“Kita tidak boleh membenarkan pengeluaran simpanan KWSP untuk semua bencana. Hampir setiap tahun negara dilanda banjir, mungkin akan ada bencana lain seperti tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya.

“Kalau untuk setiap bencana ini kita nak keluarkan simpanan KWSP, sampai bila-bila pun simpanan hari tua ini tidak tercapai matlamatnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi menyifatkan Tengku Zafrul sebagai menteri kayangan kerana menganggap menteri itu tidak peka dengan situasi rakyat ketika ini.

“Menteri Kewangan kata, mereka yang memperjuangkan pengeluaran one off RM 10,000 i-Citra KWSP adalah penghasut rakyat.“Ini menteri dari planet mana? Dapat menteri kluster kayangan macam ini boleh meninggal Malaysia dibuatnya,” katanya menerusi akaun Facebook.