Dakwa gagal urus banjir besar, PH tuntut PM jelas di Parlimen dan tubuh RCI

Banjir buruk dua minggu lalu membawa kemusnahan teruk di Selangor dan Pahang. Foto ihsan Astro Awani

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya memberi penjelasan penuh berhubung banjir besar di tujuh negeru baru-baru ini dengan mengadakan sidang khas Parlimen.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Majlis Presiden PH berkata, kerajaan juga perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja selaras dengan titah baginda mengenai pascanilai banjir besar termasuk yang berlaku di Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Kata beliau, penjelasan dan penubuhan suruhanjaya siasatan itu bagi mengenal pasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan dapat diatasi.

“Ia juga termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara seperti didedahkan oleh Ahli Parlimen Segambut (Hannah Yeoh) berhubung enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang didakwa sudah diberi milik untuk tujuan pembangunan,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH menzahirkan jutaan terima kasih buat semua petugas, sukarelawan dan dermawan yang membantu dalam pelbagai misi menyelamat, membersih dan memulihkan kawasan terjejas banjir membabitkan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada 18 Disember lalu.

Dua hari lalu, ahli-ahli Parlimen pembangkang menggesa satu suruhanjaya khas ditubuhkan bagi menjalankan bedah siasat ke atas pengurusan banjir di Lembah Klang dan Pahang.

Dalam satu kenyataan bersama 77 ahli parlimen Pakatan Harapan (PH), WARISAN dan Muda, mereka mahukan hasil bedah siasat dibahas dan diluluskan di parlimen.