Abang Jo angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak

Tan Sri Abang Johari Openg mengangkat sumpah sebagai Ketua Menter selepas gabungan empat parti yang beliau ketuai memenangi pilihan raya negeri Sarawak ke-12, malam tadi. Foto ihsan BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Openg mengangkat sumpah sebagai Ketua Menter, selepas gabungan empat parti itu memenangi pilihan raya negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Majlis mengangkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di Kuching, malam tadi.

Sementara satu lagi kerusi belum diumumkan keputusannya, GPS memperoleh 75 kerusi, prestasi paling tinggi berbanding mana-mana pengerusi gabungan parti di Sarawak sebelum ini. Dengan pencapaian itu, beliau telah mengatasi rekod yang dicatatkan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dalam PRN 2016.

Ini merupakan kali kedua Abang Johari, yang kali ini memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Kali pertama adalah pada 13 Januari 2017, sebagai menggantikan Adenan.

Beliau mengetuai GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), untuk pertama kali bertanding pada PRN menggunakan lambang sendiri. Sehingga PRN 2016 dan Pilihan Raya Umum 2018, parti-parti itu bertanding atas lambang Barisan Nasional (BN).

BN tidak bertanding di Sarawak kali ini.

Setakat ini, daripada 82 kerusi dipertandingkan, GPS memperoleh 75 kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) empat, Parti Tindakan Demokratik (2). Parti Bumi Kenyalang, Parti Keadilan Rakyat, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru, Parti Amanah Negara, Parti Sedar Rakyat Sarawak dan PAS tidak mendapat sebarang kerusi.