NUBE serah memorandum protes MoU InvestPenang dan HSBC Malaysia

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyerahkan memorandum protes terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani InvestPenang dengan HSBC Malaysia Oktober lalu.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyerahkan memorandum protes terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara InvestPenang dengan HSBC Malaysia Oktober lalu, di Pulau Pinang, kelmarin.

Dalam satu catatan di Facebook NUBE, NUBE berkata, antara intipati pertemuan kedua-dua pihak adalah perbincangan berkenaan dengan salah laku bank HSBC di peringkat antarabangsa dan juga di Malaysia.

“Pihak NUBE telah memberikan butiran secara terperinci tentang penindasan serta kegiatan anti kesatuan melibatkan pekerja-pekerja B40 dan M40 di HSBC Bank Malaysia,” kata tulisan itu.

Memorandum itu diserahkan dalam pertemuan barisan kepimpinan NUBE dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy di pejabat beliau di KOMTAR, Pulau Pinang.

Barisan kepimpinan NUBE diketuai oleh Presidennya, Tan Eng Hong dan Setiausaha Agung, J Solomon.

Menurut catatan itu, Ramasamy telah mengambil maklum berkenaan dengan isu yang dibangkitkan oleh NUBE, dan memberi jaminan akan menyiasat dengan lebih mendalam serta memaklumkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan susulan.

“Beliau turut memastikan agar kebajikan pekerja sentiasa terjaga dan dibela sepanjang masa.

“NUBE Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang terutamanya Dr. Ramasamy kerana menerima kunjungan hormat NUBE Malaysia,” kata beliau.

Pada Oktober lalu, InvestPenang dan HSBC Malaysia memeterai MoU dalam usaha menarik masuk pelaburan langsung asing berkualiti tinggi ke Pulau Pinang dan Malaysia, sambil memanfaatkan kelebihan masing-masing.

Pengarah InvestPenang, Datuk Seri Lee Kah Choon yang amat mengalu-alukan kerjasama untuk memupuk iklim perniagaan yang aktif itu berkata pembentukan semula rantaian bekalan global dan kemajuan teknologi menggerakkan usaha dari segi penubuhan perniagaan.

Kah Choon berkata, syarikat korporat disaran untuk beralih daripada mengutamakan langkah-langkah penjimatan kos pembuatan dan bergerak ke arah amalan yang memastikan kebolehpercayaan, konsistensi dan kemampanan.

Sebelum ini, laporan media menyebut, UK National Contact Point (UK NCP) memutuskan bahawa terdapat merit untuk menyiasat aduan yang difailkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan UNI Global Union tentang tindakan tidak adil HSBC Bank Malaysia Berhad ke atas pekerja-pekerja bank.

NUBE dengan sokongan UNI Global Union pada Disember tahun lalu telah memfailkan aduan secara rasmi kepada UK NCP bagi Garis Panduan OECD Mengenai Perniagaan Multinasional.

Ia didakwa bukan sahaja disebabkan tindakan tidak adil HSBC Bank Malaysia Berhad terhadap pekerja-pekerja bank malahan ekoran kegagalan bank itu untuk menghormati undang-undang buruh dan perjanjian kolektif yang telah ditandatangani di Malaysia.

HSBC Malaysia Berhad merupakan anak syarikat HSBC Holdings Plc iaitu sebuah syarikat pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional Britain.

Sesi pertemuan yang berlangsung di KOMTAR kelmarin.