NUBE gesa kerajaan pulang wang dikeluar ahli KWSP jayakan pakej rangsangan ekonomi

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, matamat utama penubuhan KWSP adalah satu skim simpanan untuk waktu persaraan pekerja .

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menuntut kerajaan memulangkan wang yang telah dikeluarkan oleh para pencarum kalangan B40 dan M40 ketika pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi sejak tahun lalu.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, matamat utama penubuhan KWSP adalah satu skim simpanan untuk waktu persaraan pekerja dan pengurusan simpanan bagi tujuan persaraan dan untuk perkara-perkara berkaitan yang diurus kelola di bawah Akta KWSP 1991.

Bagaimanapun kata beliau, sejak pandemik Covid-19, matlamat asal KWSP dilihat mula beralih, dan ini termasuklah penghakisan simpanan dalam badan berkanun itu.

“Aset pelaburan KWSP telah meningkat kepada RM1.02 trilion pada penghujung tahun 2020 tetapi merosot menjadi RM989.14 bilion pada Jun 2021.

“Di bawah pakej rangsangan ekonomi, kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan dan bukannya memberikan rebat dan insentif semasa pandemik kepada para pekerja, dan kerajaan telah menyebabkan pekerja-pekerja membuat pengeluaran simpanan mereka untuk merangsang ekonomi.

“Ini dilakukan melalui pengenalan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dan ahli KWSP telah mengeluarkan RM101 bilion dari simpanan mereka,” kata beliau dalam kenyataan media dikeluarkan semalam.

Menurut Solomon, pihak yang mendapat manfaat dari tiga skim tersebut ialah kerajaan dan majikan.

“Kerajaan berbangga bahawa pakej rangsangannya termasuk RM101 bilion sedangkan ia bukan dari tabung kerajaan tetapi dari simpanan persaraan pekerja.

Majoriti 7.4 juta yang mengeluarkan adalah ahli KWSP kalangan B40 dan M40.

“Walaupun pengeluaran ini memberi kesan jangka pendek ke atas ekonomi dan komuniti perniagaan mendapat manfaat, simpanan persaraan para ahli yang miskin telah susut,” kata beliau.

Mengikut laporan media sebelum ini, kira-kira 6.1 juta pencarum KWSP kini hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Daripada jumlah ini, kira-kira 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam simpanan mereka, menyebabkan mereka terdedah kepada kekangan kewangan dan tidak dilindungi untuk menghadapi usia persaraan mereka.

Berdasarkan sasaran minimum RM240,000 simpanan yang perlu dimiliki ahli KWSP apabila mencapai umur 55 tahun, hanya 3% yang mampu bersara dan mampu bertahan dengan simpanan mereka.

Solomon seterusnya berkata, matlamat utama Lembaga KWSP adalah melindungi simpanan persaraan pekerja dan bukannya memuaskan Kerajaan demi kelebihan politik dan majikan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Malah menurut beliau, lembaga juga mesti diingatkan bahawa KWSP tidak boleh menggunakan dana pekerja untuk membiayai majikan yang menganiaya pekerja.

Kegagalan melindungi kepentingan pekerja bermakna ia satu “Pengkhianatan Besar” terhadap amanah yang diberikan kepada Ahli Lembaga KWSP.

Tegas beliau, kerajaan mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemerosotan gaji di negara ini kerana Kerajaan bersekongkol dengan majikan dalam soal ini sejak tahun 1980-an.

Katanya, langkah kerajaan melanjutkan tempoh pengurangan kadar caruman KWSP daripada 11% kepada 9% dalam Bajet 2022, yang diumumkan baru-baru ini, juga telah dan akan memburukkan isu simpanan persaraan rendah yang dihadapi oleh para pekerja.

Jelas Solomon, memandangkan kerajaan yang telah menyebabkan kemerosotan besar dalam simpanan persaraan pekerja B40 dan M40, melalui pakej rangsangannya, maka adalah wajar kerajaan menambah balik simpanan dengan memulangkan wang yang telah dikeluarkan.

“Kerajaan perlu mencari kaedah bagi tujuan ini demi perlindungan para pencarum selepas mereka bersara,” kata beliau lagi.

Pada masa yang sama, kata Solomon, NUBE berpendirian bahawa Lembaga KWSP mesti memastikan wang ahli KWSP tidak digunakan untuk melabur secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan yang mengeksploitasi pekerja, menggalakkan usaha memusnahkan kesatuan sekerja atau untuk tujuan politik.

“Setiap keputusan yang dibuat oleh Lembaga KWSP mesti mengambil kira tanggungjawabnya untuk mempertahankan dana ahli demi kesejahteraan pencarum pada hari tua mereka kerana Malaysia akan menjadi negara yang semakin tua menjelang 2030.

“Lembaga KWSP perlu menanam keyakinan dalam kalangan ahli dan tidak digunakan sebagai sumber menyelamatkan atau ‘bailout’ perniagaan atau memperkukuhkan asas parti politik atas kos perbelanjaan para pekerja,” katanya lagi.