MEF yakin Belanjawan 2022 mampu rancak ekonomi, tangani pengangguran

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yakin pasaran kerja akan kembali kukuh dan merekodkan pertumbuhan positif pada tahun depan.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yakin pasaran kerja akan kembali kukuh dan merekodkan pertumbuhan positif pada tahun depan selepas lebih setahun terjejas berikutan kesan pandemik COVID-19.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman melahirkan keyakinan itu bersandarkan inti pati Bajet 2022 yang memperuntukkan pelbagai komponen rangsangan ke arah pemulihan ekonomi Malaysia.

Kata beliau, belanjawan terbesar menjangkau RM332.1 dengan meliputi segenap insentif untuk merancakkan sektor ekonomi, dilihat berupaya menangani isu peningkatan kadar pengangguran daripada 508,200 pada 2019 kepada 711,000 setakat tahun lalu.

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia juga mencatatkan peningkatan 12 peratus atau 314,000 orang pada 2020 daripada 295,800 pada 2019. Justeru, MEF berharap pelaksanaan insiatif dalam Bajet 2022 akan dilakukan menerusi pendekatan yang telus dan jelas,” kata beliau.

Beliau mengulas Belanjawan 2022 yang mencadangkan peruntukan terbesar RM332.1 bilion, merangkumi RM233.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM75.6 bilion untuk tujuan pembangunan, RM23 bilion diletakkan bawah Kumpulan Wang COVID-19 dan RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.

Malah menurut Syed Hussain, keputusan kerajaan untuk membenarkan penangguhan bayaran cukai pendapatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan sehingga pertengahan tahun depan akan dapat membantu merungkai isu aliran tunai.

Katanya, begitu juga dengan peruntukan geran padanan RM100 juta untuk automasi pintar bagi 200 syarikat dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan yang mampu memacu transformasi mereka. Dana sebegini juga berupaya menyelaras proses kerja syarikat dan merintis kemajuan dalam rantaian perusahaan.

Mengenai keputusan kerajaan supaya sekurang-kurangnya seorang wanita dilantik dalam lembaga pengarah syarikat senaraian awam, beliau berkata, ia adalah langkah tepat, bersandarkan perkembangan global.

Selain itu, katanya, ia isyarat jelas ke arah menggalakkan lebih ramai wanita untuk terbabit dalam sektor ekonomi negara.