UNI-MLC mahu Parlimen buat resolusi khas perkasa usaha perangi rasuah

UNI-MLC menegaskan Ahli-ahli Parlimen perlu menunjukkan komitmen dengan membuat satu resolusi penting bagi memerangi rasuah sama-sekali.

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mengesyorkan Parlimen membuat resolusi khas bagi memperkasa usaha memerangi rasuah, sekali gus menyahut hasrat dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, kini menjadi giliran Ahli-ahli Parlimen menunjukkan komitmen mereka dengan membuat satu resolusi penting bagi memerangi rasuah sama-sekali. Menjadi tanggungjawab Ahli-ahli Parlimen menzahirkan iltizam mereka ke arah itu.

Oleh itu, kata beliau, UNI-MLC menyeru Parlimen mengadakan sidang khas bagi menggubal satu pendekatan penyelesaian yang holistik bagi memerangi rasuah. Ini sekali gus akan menunjukkan bahawa ahli-ahli politik benar-benar komited ke arah mencapai hasrat Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Kata beliau, kepimpinan tertinggi negara telah menyatakan komitmen. Justeru itu, kini tiba masa bagi kepimpinan politik dan kerajaan berbuat demikian.

Meskipun Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ada menitahkan nasihat baginda berkaitan dengan Pelan Anti Rasuah Nasional (2019-2023) dalam titah perasmian sidang Parlimen pada bulan lalu, tetapi kesungguhan dalam kalangan Ahli Parlimen dalam menyahut nasihat baginda kelihatan tidak menyeluruh.

UNI-MLC mahu “Kerajaan Keluarga Malaysia” pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat satu ketetapan tegas dan komited untuk memanggil sidang khas Parlimen bagi memutuskan resolusi khusus bagi memerangi rasuah. UNI-MLC mahukan komitmen secara menyeluruh daripada Ahli Parlimen dalam soal ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Shafie berkata, UNI-MLC terpanggil untuk mengulas dua nasihat penting yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah, ketika bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada 13 September
lalu, dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dalam perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada Selasa lalu.

Kata beliau, kedua-dua baginda sekali lagi telah menegaskan kepentingan rakyat semua lapisan menjauhi diri daripada gejala rasuah dan memperlihatkan komitmen dan jihad untuk memerangi rasuah. Nasihat itu sekali gus menunjukkan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Nazrin, yang juga Sultan Perak, telah berulang kali menekankan kepentingan dan keperluan rakyat menjauhi rasuah dan perbuatan yang boleh membawa kepada rasuah.

“Kita perlu mengambil serius pandangan yang dititahkan oleh kedua-dua baginda,” kata beliau.

Shafie juga berkata, baru-baru ini, Rasuah Busters juga telah menggerakkan kempen ke arah meningkatkan semangat menangani isu dan masalah rasuah dengan mengemukakan enam tuntutan, iaitu pada 11 September 2021.

Katanya, UNI-MLC melihat pelbagai usaha telah digerakkan dan amanah termasuk titah diraja telah disampaikan berulang kali bagi memperkasa dan melipatgandakan usaha ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar bebas rasuah, dan mengutamakan amalan berintegriti dan tadbir urus baik.

Sehubungan dengan itu, tambah beliau, UNI-MLC berpandangan kini menjadi tugas dan tanggungjawab ahli-ahli politik, terutama mereka yang bergelar Ahli Parlimen, anggota kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, memperlihatkan komitmen jitu mereka bagi mencapai hasrat yang dititahkan oleh kedua-dua Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Masa untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan retorik sudah berakhir dan perlu dihentikan.

“Sebaliknya Kerajaan pada hari ini perlu mengambil satu langkah konkrit dan bersepadu selaras dengan titah kedua-dua Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, dan ia perlu dilakukan dengan segera dengan penyertaan dan penglibatan setiap pemegang taruh, tetapi perlu bermula dari diri ahli-ahli politik terutama anggota Dewan Perundangan (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri),” kata beliau.