Jangan buli individu tolak vaksin, NUBE nasihatkan Khairy

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) hari ini menegaskan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin perlu menghentikan segala bentuk pembulian dan pendiskriminasian ke atas rakyat yang memilih untuk menolak vaksin.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, kenyataan Khairy pada Sabtu lalu bahawa “kerajaan mungkin tidak akan mewajibkan vaksinasi COVID-19, tetapi mereka yang menolak vaksin akan berdepan dengan kehidupan yang sukar” merupakan satu tindakan membuli rakyat yang telah membuat pilihan untuk tidak divaksin.

Kata beliau, hasrat Khairy yang dinyatakan dalam kenyataan itu menunjukkan sikap keras kepala beliau.

Malah katanya, kenyataan itu sama dengan tindakan kerajaan menggunakan kaedah samseng terhadap rakyat.

Sehubungan dengan itu tegas beliau, NUBE membantah sebarang bentuk diskriminasi, membuli dan menggugat maruah rakyat yang tidak mahu divaksin.

Katanya, Khairy tidak boleh mengugut untuk mendapatkan persetujuan mereka yang tidak mahu divaksin dengan bertindak secara diskriminasi dan memulau serta melabelkan mereka sebagai “antivaksin”.

Menurut Solomon, memaksa vaksin ke atas mereka yang tidak mahu divaksin juga merupakan satu bentuk pencabulan.

Katanya, NUBE menggesa Kabinet “Kerajaan Keluarga Malaysia” dan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menasihati rakan-rakan Jemaah Menteri mereka agar menghormati hak rakyat, menghentikan diskriminasi dan juga ugutan terhadap mereka yang tidak mahu divaksin.

“Sebaliknya, fokuslah untuk memerangi Covid-19 dengan SOP yang penting bagi membendung penyebaran virus tanpa mengira sama ada telah divaksin ataupun sebaliknya, berikan bantuan perubatan, kemudahan dan menerokai kaedah rawatan-rawatan yang telah dikatakan berjaya oleh beberapa kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

Kelmarin, Khairy memberi bayangan bahawa kumpulan antivaksin akan berhadapan dengan kesusahan dalam hidup kerana tidak akan dibenarkan oleh kerajaan untuk menikmati apa-apa kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi.

Katanya, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan saringan secara mingguan kepada mereka dan kosnya perlu sendiri ditanggung, bukan melalui dana kerajaan.

Menurut Khairy, meskipun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan ‘memberi muka’ kepada golongan antivaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.

Mengulas mengenai kenyataan Khairy itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bukan berniat mahu menyusahkan mana-mana pihak dengan mengenakan pelbagai peraturan ketika menangani pandemik COVID-19.

Sebaliknya, kata beliau, golongan yang enggan mengambil vaksin hanya menyusahkan diri sendiri kerana tidak menikmati kemudahan yang diberikan kerajaan berbanding mereka yang telah lengkap vaksinasi.

Mengulas lanjut, Solomon berkata, kerajaan telah mengakui bahawa vaksin bukanlah satu penyelesaian untuk COVID-19.

“Sama ada divaksin atau tidak, seseorang itu masih boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

“Bahkan negara-negara seperti Singapura dan Israel telah membatalkan polisi asal pasport vaksin untuk perjalanan kerana mereka menyedari bahawa tidak ada nilai epidemiologi ekoran peningkatan ketara jumlah jangkitan dalam kalangan mereka yang telah divaksin,” kata beliau lagi.

Berdasarkan faktor-faktor itu tambah beliau, anggapan bahawa orang awam dan pekerja yang tidak diberi vaksin akan membahayakan kesihatan pekerja-pekerja yang telah diberi vaksin adalah tidak betul.

Katanya, mereka yang tidak mahu divaksin mempunyai pelbagai alasan untuk membuat pilihan masing-masing; ada yang disebabkan oleh alasan perubatan, ada yang takut akan faktor risiko, yang lain ingin bergantung pada imuniti secara semula jadi mereka sendiri sementara ramai yang ragu-ragu kerana vaksin dibangunkan terlalu pantas tanpa mematuhi protokol pembangunan vaksin.

“Apa pun alasannya, tidak dapat dinafikan, disebabkan faktor risiko vaksin Covid-19, ada keperluan untuk mendapatkan “persetujuan” daripada penerima vaksin.

“Rakyat mempunyai hak undang-undang untuk menerima atau menolak apa yang boleh masuk ke dalam tubuh badan mereka,” kata beliau.

Kata beliau, Khairy tidak boleh mengugut untuk mendapatkan persetujuan mereka yang tidak mahu divaksin dengan bertindak secara diskriminasi dan memulau serta melabelkan mereka sebagai “antivaksin”.

“Memaksa vaksin ke atas mereka yang tidak mahu divaksin juga merupakan satu bentuk pencabulan,” kata beliau, sambil menambah bahawa tanggungjawab pihak kerajaan yang dibayar gaji dan faedah oleh pembayar cukai adalah memberi rakyat Malaysia segala maklumat berdasarkan bukti dan yang seimbang untuk membolehkan pengambilan keputusan yang tepat.

“Dan, apabila rakyat telah membuat keputusan, kerajaan harus menghormati keputusan mereka, bukannya menunjukkan sifat setia kepada pengeluar-pengeluar vaksin COVID-19,” katanya.

Kata beliau, rakyat Malaysia mengalami trauma mental yang melampau sejak bermulanya wabak COVID-19 dengan tiga kerajaan berubah tangan.


“Oleh itu, sebarang tindakan diskriminasi, membuli dan melanggar hak tubuh badan seseorang harus dihentikan dengan segera,” kata beliau lagi.