UNI-MLC saran kerajaan adakan kajian holistik baiki hak pekerja

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyarankan supaya satu kajian yang menyeluruh dibuat bagi memperbaiki hak dan perlindungan ke atas pekerja, sekali gus menangani unsur-unsur penindasan dan diskriminasi pekerjaan di negara.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, kajian yang disarankan itu perlu dibuat oleh kerajaan dengan penyertyaan kesatuan sekerja.

“Harapan kita, suatu jaringan kerjasama secara norma baharu hendaklah diwujudkan oleh pihak kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja yang mahu melihat kaum pekerja di Malaysia benar-benar merasai dan menjiwai seperti slogan kerajaan hari ini, iaitu Keluarga Malaysia,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam Forum: Suara Pekerja yang diadakan baru-baru ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan. Forum itu adalah anjuran Himpunan Marhaen Suara Pekerja, yang turut merancang untuk menganjurkan beberapa forum bagi tujuan kongsi maklumat atas perkara perkara dan isu isu yang sering dihadapi oleh kaum pekerja di negara ini.

Shafie berkata, pada realitinya negara sudah 64 tahun mencapai kemerdekaan dan dapat melihat kemajuan pembangunan serta lain lain kemudahan yang telah memberi manafaat kepada rakyat Malaysia.

“Walaupun demikian, kita tidak dapat nafikan bahawa taraf hidup pekerja dan pendapatan masih lagi dipersoalkan kerana syarat syarat perkhidmatan serta tanggagaji yang ditawarkan tidak dapat menjana perbelanjaan bagi keluarga pekerja,” kata beliau.

Katanya, rakyat terutama para pekerja telah dan sedang melalui pelbagai ujian dan cabaran apabila berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang telah melumpuhkan operasi perkhidmatan dan perniagaan, seterusnya ratusan pekerja hilang mata pencarian.

“Situasi ini telah menjejaskan pendapatan dan sara hidup keluarga pekerja.

“Kita bernasib baik mempunyai Akta Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan dan menerima pelbagai bantuan daripada PERKESO semasa pandemik Covid-19,” kata beliau, sambil menambah, “pandemik ini telah mengajar kita hidup secara norma baru dan sudah tentu pekerja memerlukan skill baru bagi tujuan kesinambungan pekerjaan baharu.”