Muhyiddin: Rakyat perlu miliki pelbagai kemahiran untuk survival

Rakyat Malaysia tidak lagi boleh melihat pekerjaan masa depan dalam konteks kepakaran tunggal. – Sumber foto The Edge Markerts

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran digital bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan, sekali gus membantu memantapkan ekonomi.

Menurut beliau, langkah itu perlu memandangkan laporan Pekerjaan Hari Esok 2020 oleh Forum Ekonomi Dunia menjangkakan kerja intensif buruh akan menurun berikutan peningkatan permintaan untuk pekerjaan yang dicetus oleh teknologi dan kemahiran baharu.

Kata Muhyiddin, masyarakat tidak lagi boleh melihat pekerjaan masa depan dalam konteks kepakaran tunggal, sebaliknya perlu memiliki pelbagai pengkhususan dalam beberapa bidang selaras persekitaran pekerjaan pasca COVID-19.

“Terdapat keperluan genting untuk pelajar, mahasiswa, belia dan suri rumah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan akibat pandemik dan pendigitalan dengan mempelbagaikan kemahiran,” kata beliau ketika berucap pada Persidangan Minda Untuk Malaysia (M4M) 2021 hari ini.

Sebagai contoh, kata beliau, jika seseorang itu mahir dalam pemasaran, kewangan, jualan atau kejuruteraan, ia perlu diseimbangkan dengan pelbagai kemahiran lain yang memiliki nilai tambah.

“Antaranya, kemahiran dalam perkomputeran data, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan produk serta perkomputeran awan yang boleh membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang hampir tiada sempadan.

“Seorang jurutera, pensyarah atau pegawai kerajaan perlu juga memiliki pengetahuan dalam pemasaran, jualan, teknologi maklumat, pembangunan produk dan perkomputeran,” kata beliau lagi.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelajar, mahasiswa dan belia perlu digalakkan menghadiri program berkemahiran tinggi bagi meningkatkan kebolehpasaran dan profesionalisme, selain mewujudkan kemahiran insani.

Katanya, masih ramai graduan dan belia yang belum mahir berkomunikasi atau menyampaikan pandangan serta kekurangan kemahiran menyelesaikan masalah.

“Antara kemahiran diperlukan adalah intrapersonal dan interpersonal, kebijaksanaan emosi, pemikiran analitis dan daya pembaharuan, kreativiti, berinisiatif serta berminda kritikal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lalu akan dijadikan sebagai pemangkin perubahan hidup masyarakat dan mempercepat penggunaan penyelesaian berasaskan digital.

Katanya, pandemik itu menunjukkan rakyat Malaysia perlu berusaha membangunkan pelbagai langkah bagi meringankan impak kepada rakyat dan ekonomi negara.

Jelas Muhyiddin, krisis kesihatan pada hari ini telah memberi kesedaran untuk menambah baik dan memperkukuh teknologi serta infrastruktur bagi memudahkan industri pendidikan dan perniagaan lain dalam norma baharu.

Katanya, langkah segera diperlukan bagi melaksana agenda digital yang inklusif bagi membolehkan jutaan individu bekerja, belajar dan berhubung secara digital. Pemerkasaan bakat dan potensi rakyat Malaysia perlu diperkasa.

“Kita perlu bertindak proaktif dalam waktu sukar ini dengan menggunakan teknologi untuk memperkasa individu, bukan menggantikan mereka,” kata beliau.