JPA: Kakitangan awam wajib vaksin COVID-19

Kerajaan mengeluarkan arahan mewajibkan setiap kakitangan awam mengambil vaksin COVID-19.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengeluarkan arahan mewajibkan setiap kakitangan awam mengambil vaksin COVID-19.

Perkara itu diumumkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

Kata JPA, semua penjawat awam dikehendaki melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 November ini, dan kegagalan berbuat demikian akan dikenakan tindakan tatatertib.

“Dalam tempoh ini pegawai yang belum divaksin hendaklah hadir secara walk-in ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang disediakan kerajaan,” kata JPA.

Menurut jabatan itu, bagi kakitangan yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, pegawai hendaklah mengemukakan kepada ketua jabatan maklumat kesihatan yang disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan.

“Sekiranya pegawai awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian pegawai perubatan kerajaan maka pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa,” kata JPA lagi.

JPA berkata semua penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

Ia memaklumkan setakat ini, hanya 1.6 peratus penjawat awam, iaitu seramai 16, 902 orang, yang belum mendaftar untuk divaksin.

Kata JPA lagi, arahan itu dikeluarkan bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Malah katanya, langkah itu juga selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).