RMK-12 cermin usaha inklusif kerajaan, kata Pengarah Eksekutif WTCKL

Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim .

KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah dibentangkan semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewajarnya dipuji kerana telah menampakkan suatu usaha kerajaan secara inklusif.

Ini kerana menurut beliau, rancangan pembangunan bagi tempoh 2021-2025 mengambil kira semua keadaan seperti kehendak norma baharu ekonomi masa hadapan, Pelan Pemulihan Negara dan pasca-COVID-19, ini adalah bagus untuk kemapanan pertumbuhan sosioekonomi negara terutamanya pemulihan drastik ekonomi negara.

“Sememangnya Keluarga Malaysia menantikan usaha sebegini bagi meredakan tekanan yang dialami sepanjang negara dilanda pandemik COVID-19,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, fokus kerajaan dalam menerima guna teknologi baharu dengan usaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri adalah langkah yang tepat.

“Ini juga merupakan satu kemandirian yang membolehkan negara mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi negara luar jika kita cipta dan hasilkannya sendiri dan menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Irmohizam menambah, elemen menangani ketirisan ekonomi juga dapat dilakukan dengan mempraktikan sistem ekonomi berteraskan teknologi.
Katanya, selain melonjakkan negara berpendapatan tinggi ianya dapat merapatkan jurang pengangguran melalui inisiatif 4IR, MyDigital dan transformasi PMKS dan fokus-fokus lain.

“Tumpuan terhadap hala tuju yang strategik bagi mencapai ‘Keluarga Malaysia- Makmur, Inklusif, Mampan’ memberi makna kepada kita semua.

“Diharapkan agar kerajaan benar-benar dapat mencapai pertumbuhan KDNK daripada 4.5 peratus sehingga 5.5 peratus disamping menjadi sebuah negara berpendapatan dan berteknologi tinggi,” kata beliau.

Beliau juga mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa pemandu peringkat Kabinet harus diwujudkan bagi memastikan agar setiap apa yang dirancangkan dapat dilaksanakan mengikut jadual serta memenuhi kehendak rakyat Malaysia.

“Keseimbangan pembangunan dan kekayaan negara adalah penting untuk kita sebagai Keluarga Malaysia terumanya dalam menyediakan perancangan jangka panjang modal insan generasi muda Malaysia,” kata beliau.