Jangan hukum pekerja enggan divaksin, SUHAKAM ingatkan majikan

SUHAKAM hari ini mengingatkan para majikan agar tidak mengambil tindakan termasuk denda kepada pekerja yang enggan menerima vaksin COVID-19.

KUALA LUMPUR: Suruhajaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) hari ini mengingatkan para majikan agar tidak mengambil tindakan termasuk denda kepada pekerja yang enggan menerima vaksin COVID-19.

SUHAKAM berkata, pihaknya telah menerima sejumlah aduan berkenaan dakwaan diskriminasi yang dikenakan kepada mereka yang masih tidak divaksinasi, termasuk tidak dibenarkan kembali bekerja atau terpaksa menanggung sendiri kos ujian calitan.

“SUHAKAM mengingatkan majikan untuk tidak menetapkan keperluan vaksinasi mandatori kepada pekerja atau mengenakan denda kepada pekerja yang enggan divaksinasi, sebaliknya majikan boleh menawarkan insentif bagi menggalakkan pekerja untuk divaksinasi,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut SUHAKAM, pihaknya menyeru erajaan untuk mengambil tindakan segera bagi menangani isu-isu ini yang memerlukan pendekatan yang seimbang antara keutamaan kesihatan awam dan hak untuk dilayan secara adil tanpa diskriminasi.

Selain itu, SUHAKAM berkata, kerajaan perlu melihat kepada kemungkinan untuk meluaskan peranan dan fungsi Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) dengan memanjangkan bantuan kepada pekerja yang mempunyai pertikaian berkaitan isu COVID-19, termasuk status vaksinasi, dengan majikan mereka

Sementara itu, SUHAKAM berkata kerajaan atau pemilik premis boleh mengenakan sekatan kepada mereka yang masih belum lengkap divaksinasi atau memilih untuk tidak divaksinasi.

“Orang ramai perlu menyedari bahawa tujuan utama langkah-langkah ini adalah untuk melindungi manusia dan kesihatan awam; dan sebagai insentif kepada mereka yang telah mendapatkan vaksin.

“Bagaimanapun, sekatan tersebut tidak seharusnya menghalang sesiapa jua daripada menikmati keperluan hak asasi mereka termasuklah antaranya akses kepada pendidikan, makanan dan penjagaan kesihatan.

“Ia hanya boleh dikuatkuasakan sebagai pendekatan sementara sehingga imuniti kelompok dapat dicapai atau apabila pandemik telah beralih ke fasa endemik,” jelas SUHAKAM.