KUALA LUMPUR: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) meminta Kementerian Pendidikan tidak mengambil tindakan tergesa-gesa terhadap guru-guru yang enggan menerima vaksin.
Sebaliknya i-Guru meminta kementerian memperhalusi setiap tindakan tatatertib yang bakal dikenakan kepada guru-guru yang enggan divaksinasi.
Dipetik Malaysiakini, Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, perbincangan dengan pihak yang berkaitan terutama Jabatan Perkhidmatan Awam penting agar tindakan yang bakal diambil mengikut lunas undang-undang dan tidak menzalimi kakitangan awam sebagaimana Peraturan 4: Peraturan -Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan/Tatatertib ) 1993.
“Buat masa ini kaedah motivasi, memujuk dan kaunseling serta sesi bersemuka dengan guru yang enggan vaksin adalah lebih sesuai dan praktikal,” kata beliau sambil menegaskan, terdapat pelbagai sebab seseorang itu enggan menerima vaksin.
Cuma kata beliau, yang dikhuatiri adalah aspek keselamatan dan kesihatan murid serta rakan guru lain terjamin selamat dan memastikan keyakinan ibu bapa untuk membawa anak-anak ke sekolah.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, guru yang enggan divaksin bakal berdepan tindakan tatatertib.
Mohd Radzi sebelum ini dilaporkan berkata lebih 2,500 guru memilih untuk tidak menerima suntikan vaksin Covid-19.
Menurut Mohd Radzi, guru-guru yang enggan mengambil suntikan vaksin akan diasingkan daripada sesi pembelajaran di sekolah selain bakal diambil tindakan.
Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata keputusan untuk membenarkan guru berkenaan hadir ke sekolah atau tidak bergantung kepada pihak KPM.
“Jika dibenarkan hadir pastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan, mengetatkan SOP semasa bertugas dan mengenal pasti bentuk tugasan yang sesuai. Sebelum ini pun kita sudah ada pengalaman guru mengajar tanpa divaksin.
“Jadi sebenarnya kita boleh mengurus dan tiada masalah jika semua faham dan menjaga SOP,” katanya.