MEF: Akta antigangguan seksual tidak perlu, undang-undang semasa di tempat kerja cukup

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menegaskan undang-undang semasa sudah cukup untuk menangani kes gangguan seksual di tempat kerja.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menegaskan tiada keperluan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti-Gangguan Seksual di Parlimen tahun ini sebagaimana diumumkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini.

Presidennya, Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, RUU yang dicadangkan itu tidak boleh dibentangkan terburu-buru sebelum perbincangan lebih terperinci diadakan dengan pihak berkepentingan.

Kata beliau, MEF berpandangan bahawa undang-undang dan peraturan yang sedia ada bagi membendung gangguan seksual akan menjadikan peruntukan yang dicadangkan itu sebagai tidak perlu.

Beliau yang juga ahli dalam projek khas RUU berkata, memiliki undang-undang khusus mengenai gangguan seksual juga akan menampakkan imej negatif Malaysia kepada bakal pelabur.

“Kerana mereka mungkin keliru bahawa gangguan seksual adalah masalah utama di Malaysia, padahal pada hakikatnya ia terasing dan dapat dikendalikan,” kata beliau dalam kenyataan media dikeluarkan semalam.

Pada 12 September lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, RUU itu telah mula digubal secara kolektif melalui sebuah pasukan projek khas dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Kata beliau, pasukan khas tersebut terdiri daripada wakil kementerian dan agensi yang berkaitan, badan bukan kerajaan serta ahli akademik yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam perkara tersebut.

Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mengadakan pelbagai sesi libat urus termasuklah dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, PROLINTAS, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, dan Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata, sebagai usaha untuk mendapatkan input untuk penggubalan akta tersebut.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, MEF ada bertemu bagi membincangkan RUU tersebut dengan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

(Bagaimanapun), kami merasakan masih banyak masalah yang perlu diselesaikan,” kata beliau.

Oleh itu Syed Hussain menjelaskan, rang undang-undang yang dicadangkan itu tidak boleh dibentangkan terburu-buru sebelum perbincangan lebih terperinci diadakan dengan pihak berkepentingan.

“Ada banyak perkara tidak jelas, terutama berkaitan pertindihan cadangan rang undang-undang tersebut dengan peruntukan mengenai Bahagian XVA Akta Kerja yang merangkumi tempat kerja dan hubungan majikan-pekerja,” katanya.

Beliau berkata, sudah ada peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang pekerjaan dan sivil, seperti tuntutan yang tidak berasas terhadap sebarang tindakan gangguan seksual.

Syed Hussain berkata perspektif majikan sektor swasta, Akta Kerja 1955, Kod Amalan Menghapuskan Gangguan Seksual di Tempat Kerja, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan S.20 (1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 secara tegas mengatur setiap tindakan gangguan seksual di tempat kerja.

“Ini juga amalan biasa bagi majikan untuk memiliki dasar dan mekanisme sendiri bagi menangani aduan gangguan seksual di tempat kerja dan tiada majikan boleh bertindak sedemikian,” kata beliau.