COVID-19: MEF minta kerajaan benar pejabat korporat operasi semula

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) hari ini meminta kerajaan membenarkan pejabat korporat beroperasi semula susulan kelonggaran sekatan yang diberikan bagi sektor perkhidmatan bukan keperluan utama.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kebanyakan ahli persekutuan itu mempersoalkan rasional pejabat korporat masih ditutup sedangkan pejabat kilang dibenarkan dibuka semula.

“Banyak majikan yang tertanya-tanya mengenai situasi ini kerana keputusan yang besar dilakukan di peringkat pengurusan dan bukan di kawasan pengeluaran.

“Keberkesanan operasi kilang akan terganggu sekiranya pejabat korporat terus ditutup,” kata beliau menerusi kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata, MEF berharap pihak berkuasa memahami masalah perniagaan dan mempercayai majikan untuk menguruskan sendiri prosedur operasi standard kerana ini akan mengurangkan tekanan pentadbiran.

Malah katanya, langkah seperti itu akan membolehkan majikan menumpukan kepada usaha pemulihan perniagaan mereka, yang kemudiannya akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia.