KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) hari ini merayu kerajaan “Keluarga Malaysia” pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menyelesaikan tuntutan menangani isu kadar bayaran pencen “terlalu rendah pesara-pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diswastakan pada 1980-an dan 1990-an”.
UNI-MLC telah berulang kali membangkitkan isu tersebut sebelum ini tetapi belum menemui jalan penyelesaian.
Pesara-pesara GLC yang dimaksudkan adalah mereka yang pernah berkhidmat di Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Pos Malaysia Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad, North Port, Johor Port, PLUS dan Malaysia Airport.
Dalam surat yang dialamatkan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini, Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pihaknya berharap kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan menteri kewangan semasa akan memasukkan isu tersebut dalam Belanjawan 2022 yang bakal dibawa ke Parlimen, sekali gus menghadiahkan satu penyelesaian muktamad.
Kata beliau, UNI-MLC mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan kadar bayaran pencen kepada semua pesara terbabit minimum pencen RM500 dan ‘top-up’ sebanyak 30 peratus kepada mereka yang menerima pencen melebihi RM500.00 secara ‘one-off’.
“Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob), yang menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia akan mengambil kira cadangan bagi meningkatkan kadar bayaran pencen rendah kepada pesara-pesara yang terlibat,” kata beliau.
Pekerja-pekerja yang terlibat dengan Dasar Penswastaan Negara pada 1980-an dan 1990-an telah disarakan dari perkhidmatan awam dan menerima pencen bulanan serendah RM180.00, dan jumlah itu kini berada di bawah paras kemiskinan negara dan amat sukar untuk mereka menjalani kehidupan harian.
Kata Mohamed Shafie, kerajaan sepatutnya mengambil kira pengorbanan yang besar oleh pekerja-pekerja tersebut kepada negara dan mereka bersetuju untuk disarakan dari perkhidmatan awam walaupun tahun perkhidmatan mereka tidak mencukupi 25 tahun bagi mendapatkan pencen penuh.
Pencen yang mereka terima pada hari ini adalah berdasarkan jumlah tahun perkhidmatan terakhir dengan Kerajaan dan gaji terakhir mereka Ketika itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, UNI-MLC berharap isu tersebut akan menemui satu penyelesaian muktamad pada kali ini