KUALA LUMPUR: Industries Unite (IU), gabungan persatuan perdagangan dan dewan perniagaan, merayu kepada kerajaan agar membenarkan individu yang lengkap vaksin untuk kembali bekerja secara fizikal di premis.
Pengasasnya, Datuk Irwin Cheong berkata, kebenaran itu juga tidak perlu disertakan dengan permit kebenaran kerana ia sekali gus dapat mengurangkan isu membabitkan surat kebenaran daripada pihak berkuasa.
Menurut beliau, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) juga diharap dapat dikecualikan daripada jumlah maksimum sebanyak 60 peratus untuk negeri di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan 80 peratus untuk Fasa 2.
“Pandemik ini tidak lama lagi akan menjadi endemik. Sepatutnya tiada sekatan kapasiti untuk pekerja di pejabat dan sektor bersama lain.
“(Oleh itu), apabila 100 peratus kembali bekerja, ini membolehkan perniagaan memulakan operasi semula sepenuhnya dan ekonomi akan pulih dengan kadar yang pantas,” kata beliau menerusi kenyataan media, hari ini.
Cheong berkata, pekerja-pekerja memberi sumbangan yang besar dalam perbelanjaan sistem ekonomi domestik, terutamanya makanan dan minuman yang akan memberi kesan berganda dalam pemulihan ekonomi negara.
Oleh itu katanya, permulaan pemulihan ekonomi bergantung pada permintaan domestik yang berkembang memandangkan ketika ini tiada kedatangan pelancong antarabangsa untuk tempoh yang tidak dijangka.
“Kami memohon agar ia dilaksanakan di semua sektor kerana hakikatnya semua sektor memainkan peranan utama dalam ekosistem dan rantaian bekalan,” kata beliau.
Lembah Klang memasuki Fasa 32 sejak Jumaat lalu.