KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menggesa syarat lengkap vaksin terhadap pelajar perlu diperluaskan kepada semua kakitangan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mewujudkan persekitaran yang benar-benar selamat.
Presiden MPPK, Amir Asyraf Sabri berkata, ahli akademik yang enggan menerima vaksin juga seharusnya dilarang untuk mengajar secara bersemuka.
Menurut Amir, tanggungjawab untuk memelihara gelembung kampus yang selamat bukan hanya terletak di tangan mahasiswa, tetapi ia adalah tanggungjawab kolektif semua warga IPT.
Bagaimanapun, Amir berkata bagi mereka yang tidak boleh menerima vaksin atas sebab yang munasabah seperti keadaan kesihatan atau alergik, kakitangan IPT perlu diberi peluang untuk kembali ke kampus sekiranya kehadiran individu berkenaan benar-benar perlu.
Amir mengulas pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bahawa pelajar IPT yang tidak lengkap dua dos vaksin COVID-19 tidak dibenarkan kembali menyambung pengajian di kampus.
Menurut beliau, pelajar-pelajar terbabit perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan hanya dibenarkan kembali ke kampus selepas menerima dos vaksin lengkap.
“Hanya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan mengikuti pengajian secara hibrid di kampus,” kata beliau.
Noraini berkata, arahan berkenaan terpakai kepada semua termasuk universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti seperti termaktub dalam SOP yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam kenyataannya, Amir menambah, mahasiswa yang masih belum mendapat janji temu vaksin COVID-19 segera mendapatkannya di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) secara walk-in.
Beliau berkata ia bagi menyemarakkan usaha semua pihak mewujudkan persekitaran kampus yang selamat apabila kampus dijangka mula melaksanakan pengajian secara hibrid pada Oktober ini.
“MPPK berpendapat bahawa syarat lengkap dua dos adalah bertepatan dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi dan hasrat mahasiswa sendiri yang mahukan satu persekitaran yang selamat di kampus,” kata beliau.
Namun, katanya, kumpulan mahasiswa yang enggan atau menolak vaksin tanpa alasan kukuh, mereka wajar tidak dibenarkan kembali ke kampus demi memelihara gelembung kampus yang selamat daripada ancaman pandemik Covid-19.