KUALA LUMPUR: Cuepacs, pergerakan kesatuan sekerja utama sektor awam, membidas bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kerana mengaitkan penjawat awam dengan kuasa dan pengaruh Umno, yang merupakan parti utama menerajui kerajaan di kedua-dua peringkat pusat dan negeri sejak merdeka.
Presidennya, Adnan Mat berkata, Thomas membuat kesimpulan itu tanpa dapatan atau kajian yang kukuh bagi membuktikan apa yang didakwanya itu.
“Cuepacs menyifatkan pandangan tersebut amat jelik dari seorang yang pernah menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam sebagai peguam negara,” kata beliau merujuk kepada pandangan Thomas dalam sebuah webinar kelmarin apabila mengatakan penguasaan Umno ketika ini begitu utuh sehingga ribuan penjawat awam yakin bahawa parti tersebut ‘sinonim’ dengan Malaysia.
Adnan berkata, bekas peguam negara itu tidak perlu mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik atau ideologi kerana prinsip yang didukung oleh penjawat awam adalah neutral dan profesional dalam perkhidmatan masing-masing.
“Penjawat awam sentiasa mendukung mana-mana kerajaan yang memerintah tanpa mengira latar belakang politik yang mengetuai tampuk kepimpinan kerajaan.
“Sebagai jentera kerajaan, fokus penjawat awam adalah memastikan sistem penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap maksimum untuk manfaat rakyat selaras dengan dasar kerajaan semasa,” kata beliau lagi.
Thomas, semasa sebuah webinar semalam, berpendapat Umno sentiasa mendominasi sehingga ramai orang melihat kepentingan parti itu setara dengan kepentingan negara, meskipun gagal menangani Covid-19.
“Penguasaan Umno dalam lanskap negara kita begitu kuat sehingga meyakinkan ribuan penjawat awam selama beberapa dekad bahawa Umno sinonim dengan Malaysia.
“Apa yang menjadi kepentingan Umno adalah kepentingan nasional,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, sebagaimana penjawat awam dilarang untuk mengeluarkan pendapat mengenai isu politik, Cuepacs juga berharap perkara tersebut turut dihormati oleh pemimpin politik dengan tidak mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana pertikaian olitik.
Kata Presiden Cuepacs, para penjawat awam juga rakyat Malaysia dan mempunyai kecenderungan politik tetapi mereka semua tetap profesional dan neutral dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.