SHAH ALAM: Berikut adalah enam tuntutan politik#Malaysia Tanpa Rasuah yang dilancarkan oleh Rasuah Busters dengan penyertaan enam buah pertubuhan bukan kerajaan di sini, semalam.
Kepada Ahli-Ahli Parlimen Yang Dihormati
ENAM TUNTUTAN POLITIK #MALAYSIATANPARASUAH
Rasuah Busters bersama lebih 400 gabungan meneruskan misi membawa transformasi nilai melalui inisiatif POLITIK #MalaysiaTanpaRasuah dengan membawa Enam Tuntutan yang akan dibentangkan oleh BERSIH 2.0, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Center to Combat Corruption & Cronysm, Transparency International Malaysia (TI-M), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Undi18. Enam tuntutan tersebut adalah seperti berikut:-
- Pelaksanaan dan sokongan penuh ke atas Pelan Antirasuah Nasional (NACP)
- Memperkenal dan mengadakan Pilihan Raya Pecat sebagai alternatif segera kepada Akta Antilompat Parti
- Pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18
- Menyegerakan pembentangan dan pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik
- Memastikan kebebasan dan ketelusan institusi, antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara
- Melaksanakan reformasi Parlimen
Pihak #RasuahBusters bersama gabungan, berharap Yang Berhormat sekalian akan turut bersama membawa hasrat rakyat dengan bergerak ke arah implementasi Enam Tuntutan di bawah POLITIK #MalaysiaTanpaRasuah, sebagai usaha memastikan transformasi perundangan, struktur institusi dan tadbir urus Negara dapat dicapai.
Kami berkeyakinan penuh bahawa sinergi pihak kepimpinan Negara bersama kepakaran dan pengalaman rakan gabungan #RasuahBusters yang sekian lama membawa inisiatif reformasi struktur Negara adalah suatu kelebihan.
Perbincangan aspek kajian, maklum balas awam dan komunikasi, membabitkan semua pihak diharap akan membuahkan hasil yang bermanfaat demi rakyat dan Negara ini daripada segenap sudut dalam tempoh masa yang lebih singkat. Oleh itu, Enam Tuntutan tersebut akan dapat direalisasikan.
Ketulusan khidmat Yang Berhormat di peringkat Parlimen ditambah komitmen kami di peringkat rakyat, untuk menjadikan Enam Tuntutan ini satu kenyataan merupakan antara langkah awal untuk kita bersama mengubah landskap politik Negara menjadi lebih baik.
Justeru itu, susulan bagi tuntutan dan pelancaran ini, kami mengharapkan pertemuan dan perbincangan lanjut dapat diadakan bersama Yang Berhormat sekalian dari semasa ke semasa agar proses pemulihan Negara di peringkat reformasi politik ini dapat dimulakan dengan segera untuk mencapai matlamat yang dicitakan bersama.
DITANDATANGANI
Datuk Hussamuddin Yaacub #RasuahBusters
Dr Muhammad Mohan Transparency International Malaysia
Tricia Yeoh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
Thomas Fann BERSIH 2.0
Hj Badlisham Baharin Gabungan Bertindak Malaysia (GBM)
Cynthia Gabriel Center to Combat Corruption & Cronyism (C4)
Tharma Pillai Undi18