KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa pihak majikan termasuk kerajaan agar menggunakan pendekatan “berhemah” dalam menangani pekerja-pekerja yang tidak mahu terima vaksin COVID-19.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, tiada undang-undang yang menyediakan peruntukan mandatori bahawa kerajaan dan pengurusan boleh mengambil tindakan tegas termasuk membuang pekerja.
“Penggunaan perkataan membuang pekerja bukan satu perkataan yang sesuai, tidak profesional,” kata beliau kepada Workers Times hari ini.
Malah kata beliau, mana-mana pihak termasuk kerajaan dan majikan tidak boleh “bongkah” dalam menangani isu yang dihadapi sekarang.
“Perkataan itu tidak baik kita gunakan sehingga boleh mencetuskan rasa takut, bimbang dalam kalangan pekerja,” kata beliau lagi.
Dua hari lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pekerja-pekerja yang enggan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana menyebabkan suasana tempat kerja yang tidak selamat.
Beliau memberitahu, walaupun tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, namun akta itu menuntut majikan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan tidak mengancam kesihatan pekerja.
“Akta berkaitan keselamatan tempat kerja masih boleh dikuatkuasakan sebab tempat itu tidak selamat dari segi persekitaran,” kata beliau.
Minggu lalu, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia Dr Shawaludin Husin dilapor berkata majikan tidak mempunyai kuasa untuk memaksa kakitangan mengambil vaksin COVID-19.
Menurut Shawaludin paksaan ialah langkah tidak wajar pada waktu ini kerana tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 terhadap mana-mana individu.
Dalam ulasannya, Mohamed Shafie berkata, sudah tiba masa bagi majikan dan kerajaan mengambil pendekatan memberi pendidikan dan kaunseling kepada para pekerja mengenai kepentingan dan manfaat vaksin.
“Kita perlu sediakan kaunseling… aspek moral, agama tentang vaksinasi, bukannya kata hendak membuang pekerja,” kata beliau dengan merujuk kewujudkan berjuta pekerja asing tanpa izin yang berada di negara tanpa diberikan vaksin.
“Jadi, kita perlu profesional dalam perkara ini,” kata beliau sambil menambah, “kita kena cari satu titik noktah yang baik dalam perkara ini.”
Katanya, tindakan membuang pekerja bukan jalan penyelesaian kerana seseorang pekerja itu mesti ada sebab tertentu mengambil mereka tidak mahu menerima vaksin.
“Kita kena melihat segala aspek,” kata beliau lagi.