KUALA LUMPUR: Malaysia memperoleh dua emas hari ini, dengan salah satu disumbangkan oleh jaguh lompat jauh para, Abdul Latif Romly manakala Cheah Liek Hou pula mencipta sejarah dengan menjadi pemain pertama negara memenangi pingat emas dalam badminton.
Abdul Latif muncul wira kontinjen Malaysia apabila menjadi penyumbang pingat emas ketiga, sekali gus menepati sasaran ditetapkan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Tampil sebagai juara bertahan, Latif yang berusia 24 tahun berjaya mengekalkan emas yang dimenanginya lima tahun di Paralimpik Rio 2016 apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter (m) pada percubaan kedua dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.
Bagaimanapun, catatan itu masih jauh ketinggalan berbanding rekod dunia yang dimilikinya 7.64m ketika melakukannya di Rio.
Atlet berasal dari Perlis itu tidak meneruskan lompatan terakhirnya selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika melakukan lompatan kelima.
Pingat perak acara itu dimenangi atlet Greece, Athanasios Prodromou dengan catatan 7.17m manakala Nicholas Hum meraih gangsa dengan 7.12m.
Kontinjen Malaysia sebelum ini sudah meraih dua emas menerusi jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan pemain badminton para bagi kategori SU5, Liek Hou.
Liek Hou mencipta sejarah dengan menjadi pemain pertama negara memenangi pingat emas dalam sukan itu di Sukan Paralimpik selepas menewaskan Dheva 21-17, 21-15 dalam aksi final kategori SU5.
Kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 33 tahun berkenaan menjadi penyumbang emas kedua kontinjen negara selepas jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin minggu lalu.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama sukan badminton dipertandingan di Sukan Paralimpik.