Muhyiddin dilantik Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri

Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu dan digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Sumber FB Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pertengahan bulan lalu, hari ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu bersetuju untuk melantik Muhyiddin ke jawatan itu.

Mengumumkan perkara itu hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan berkenaan sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu bersetuju untuk melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

“Pelantikan ini juga dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” kata beliau.

Mohd Zuki yang juga Setiausaha Jemaah Menteri berkata, pihak kerajaan mengucapkan setinggi tahniah kepada Muhyiddin di atas pelantikan berkenaan.