KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebabkan kematian pengawal keselamatan Thava Sagayam pada 28 Ogos di Ipoh, Perak.
“Saya sedih dan terkejut dengan musibah yang melanda keluarga Thava Sagayam ini. Keadilan harus ditegakkan.
“Tiada sesiapa terkecuali daripada garis undang-undang. Terima kasih YB di atas keprihatinan,” kata beliau menerusi Twitter.
Beliau mengulas gesaan bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran di media sosial yang mendesak pihak penguatkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang dituduh menyerang pengawal keselamatan itu.
Kula Segaran hari ini mendedahkan bahawa Ismail Sabri cuba menghubungi isteri Thava, E Philomena, yang tidak dapat menerima panggilan itu.
Sebaliknya, Ismail Sabri bercakap dengan anak saudara Thava.
“Dia (Ismail Sabri) meluahkan perasaan seperti yang dirasai oleh kebanyakan orang di Malaysia,” kata Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat.