50 sertai Program Latihan Pengurusan Krisis dan Pelan Strategik Media di bawah inisiatif MISI

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), P Prabakaran (tengah) dan  Ketua Pegawai Eksekutif Amelia International, Rashitha A. Hamid (tujuh dari kiri) bersama para peserta Program Latihan Pengurusan Krisis & Pelan Strategik Media dalam era Kecerdasan Buatan (AI), semalam.

KUALA LUMPUR: Seramai 50 peserta menamatkan Program Latihan Pengurusan Krisis dan Pelan Strategik Media dalam era Kecerdasan Buatan (AI) anjuran di bawah Inisiatif Kemahiran India Malaysia (MISI).

Program julung kali ini berlangsung selama enam hari bermula 18 April lalu di Menara KH di sini, kendalian Amelia International (AI) Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Amelia International, Rashitha A. Hamid berkata, program latihan itu telah diterima dengan baik oleh para peserta sebagai satu platform yang penting dalam menguruskan media ketika krisis komunikasi terutama semasa era AI yang semakin mencabar.

“Kami telah mengaturkan program ini atas pandangan bahawa ia amat penting kepada setiap industri, memandangkan krisis boleh berlaku dalam setiap industri tanpa diduga.

“Maka. tanpa perancangan yang betul, satu kesilapan langkah, walaupun kecil boleh menyebabkan impak besar kepada organisasi, menjejaskan imej dan reputasi.

“Melalui latihan ini, para peserta telah dilengkapi dengan ilmu dan skil untuk menjangka, bertindak balas dengan pantas dan berkesan, dan pulih daripada krisis dalam masa nyata,” tambah Rashitha.

Latihan ini menghimpunkan peserta komuniti India, melibatkan pelbagai industri termasuk sektor kewangan, pelancongan dan hospitaliti, perkhidmatan makanan, teknologi maklumat, media dan komunikasi,  pemilik perniagaan kecil.

“Di akhir program para peserta telah melahirkan rasa bangga bahawa mereka telah memperoleh ilmu dan skil yang luas dan mendalam mengenai pengurusan krisis komunikasi dan pembangunan pelan media di bawah era semasa AI,” kata beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau yakin para peserta akan memanfaatkan segala kemahiran yang diperoleh dalam menjana pendapatan mereka selari dengan objektif MISI.

Program itu dikendalikan di bawah MISI, program yang diperkenalkan khusus untuk memperkasakan profesional dan usahawan India Malaysia melalui pembangunan kemahiran dan sokongan perniagaan. Ia dilaksanakan oleh HRD Corp, agensi kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Dalam pada itu, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), P Prabakaran, yang juga Ahli Parlimen Batu, menyifatkan program itu sebagai satu pendekatan yang amat baik kerana para peserta yang mengikutinya berupaya untuk menangani cabaran utama yang dicetuskan oleh IA, maklumat tidak betul selain meningkatkan pengetahuan perhubungan awam dalam era digital.

Malah, menurut beliau, inisiatif itu sejajar dengan komitmen MISI untuk meningkatkan kemahiran masyarakat India Malaysia, menggalakkan keterangkuman, dan mengukuhkan keupayaan tenaga kerja negara dalam sektor permintaan tinggi.

“MISI tetap komited untuk memperkasakan peserta dengan alat untuk memimpin secara berkesan dan beretika, terutamanya dalam masa ketidaktentuan,” kata beliau ketika berucap menutup program latihan itu. “Kami di Mitra sendiri telah mengesyorkan inisiatif MISI kepada Perdana Menterim Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mengumumkannya pada tahun lalu.”

Program latihan dikendalikan oleh pakar perunding media dan komunikasi, Dr. G Manimaran yang memiliki lebih 35 tahun pengalaman dan kepakaran dalam industri media.

Majlis penutup meraikan pencapaian 50 peserta, masing-masing menerima sijil penyiapan dan komitmen yang diperbaharui terhadap kepimpinan yang bertanggungjawab dalam era transformasi digital.