Sultan Selangor: Guru KAFA, jurunikah enggan vaksin mungkin tak dibenar bertugas

Sultan Selangor mengingatkan guru-guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah yang masih berdegil dan enggan menerima vaksin kemungkinan tidak akan dibenarkan untuk meneruskan tugas.

KUALA LUMPUR: Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan guru-guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah di Selangor yang masih berdegil dan enggan menerima vaksin kemungkinan tidak akan dibenarkan untuk meneruskan tugas.

Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita apabila 112 individu termasuk guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin.

Baginda turut menegaskan baginda difahamkan terdapat 268 orang guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan di Selangor enggan divaksin.

Titah baginda, tindakan mereka bukan sahaja akan membahayakan diri mereka sendiri malah orang ramai termasuk boleh memudaratkan para pelajar.

Berdasarkan laporan terperinci diterima daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) difahamkan seramai 326 orang guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 95 orang guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin berkenaan.

Bagi pegawai masjid pula didapati seramai 59 orang belum menerima vaksinasi dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian selain sembilan orang jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenalpasti enggan menerima vaksin.

Sultan Sharafuddin bertitah, golongan itu sepatutnya mengetahui bahawa suntikan vaksin dapat mengelakkan seseorang yang dijangkiti dengan virus Covid-19 daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian.

“Malah, Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Selangor ini adalah di kalangan mereka yang tidak divaksin.

“Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah mereka yang masih berdegil dan enggan menerima vaksin berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas,” titahnya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

Sehubungan dengan itu, baginda berharap pihak Jabatan Kesihatan Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah di negeri ini.

“Sukacita, Beta mengingatkan bahawa pakar-pakar perubatan telah mengesahkan yang vaksin ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini.

“Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan,” titahnya.

Baginda turut mengingatkan Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan.

Oleh itu kata baginda, rakyat tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin.