
Oleh Mohamed Shafie BP Mammal
PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik pengumuman kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2024 sebanyak 6.3%, bagi kedua-dua jenis simpanan, Konvensional dan Shariah. Kadar ini lebih tinggi berbanding tahun 2023, dan dilaporkan paling tinggi sejak tahun 2017.
Pada tahun lalu, KWSP membayar dividen 5.5% untuk simpanan Konvensional, manakala 5.4% untuk simpanan Shariah. Dividen paling tinggi pernah diagihkan KWSP adalah 8.5% iaitu dari 1983 hingga 1987.
Meskipun UNI-MLC meletakkan harapan agar kadar dividen bagi tahun 2024 tidak kurang daripada 7%, tetapi menyambut baik kenaikan lapan mata berbanding bagi tahun 2023.
Meskipun pelbagai ketidaktentuan dalam negara dan luar negara, KWSP yang menjadi nadi simpanan usia tua atau selepas bersara, telah menunaikan fungsinya dengan baik dan efektif dalam menjana pulangan yang baik bagi menjana dividen yang lebih baik berbanding platform simpnan yang lain dalam negara termasuk bank.
Kadar dividen lebih tinggi ini merupakan satu khabar yang baik bagi para pencarum yang dianggarkan 15.9 juta orang.
Sebagai badan yang mewakili pekerja dan dianggotai lebih 100 kesatuan sekerja, UNI-MLC melihat peningkatan kadar dividen ini akan meningkatkan keyakinan para pencarum ke atas KWSP sebagai badan pengurus simpanan para pekerja di Malaysia.
UNI-MLC juga percaya bahawa pertambahan simpanan susulan peningkatan kadar dividen telah dan akan memberi satu berita baik kepada para pencarum. Ini kerana pengumuman terbaharu KWSP akan menambah jumlah simpanan para pencarum dalam jangka panjang. Malah, UNI-MLC juga yakin bahawa perkembangan terbaharu ini juga akan menambah caruman atau simpanan secara sukarela dalam kalangan pencarum KWSP demi manfaat jangka panjang mereka. Kita perlu mengakui bahawa buat masa sekaran KWSP merupakan satu platform kebergantungan bagi para pencarum dalam mengharapkan pulangan yang lebih baik bagi mereka.
UNI-MLC yakin dan percaya bahawa KWSP akan terus mempertingkatkan daya pelaburannya untuk menjana pulangan lebih baik demi manfaat dan kepentingan para pencarum.
KWSP perlu terus mempelbagaikan platform menjana pendapatan dalam memberikan dividen lebih tinggi bagi tahun 2025 dan tahun-tahun seterusnya.
Nota: Datuk Mohamed Shafir BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)