
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 6.30% untuk Simpanan Konvensional, dengan jumlah pembayaran RM63.05 bilion dan 6.30% untuk Simpanan Shariah, dengan jumlah pembayaran RM10.19 bilion, menjadikan jumlah pembayaran untuk 2024 kepada RM73.24 bilion.
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, 11% lebih tinggi daripada RM66.99 bilion yang dicatatkan pada 2023.
Jumlah tersebut adalah bersih daripada penurunan nilai ekuiti tersenarai yang dicatatkan bagi tahun tersebut.
Aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1,249.71 bilion, meningkat 10% daripada RM1,135.82 bilion pada 2023. Peningkatan ini didorong oleh pendapatan portfolio dan caruman bersih RM108.22 bilion, meningkat 11% daripada RM97.56 bilion pada 2023.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata: “Alhamdulillah, KWSP berbesar hati mengumumkan dividen yang lebih tinggi untuk 2024, didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan, dan pengurusan portfolio yang kukuh.”
“Strategi pelaburan kami yang pelbagai membolehkan kami memanfaatkan peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan dan mengukuhkan keselamatan kewangan jangka panjang ahli kami.”
“Di dalam negeri, pelaburan yang kukuh, pasaran buruh yang sihat dan inflasi yang stabil meningkatkan permintaan, manakala eksport mendapat manfaat daripada kestabilan global dan kitaran teknologi. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, inisiatif kerajaan di bawah Bajet 2024 dan pelan strategik di bawah rangka kerja Ekonomi Madani telah menarik pelaburan asing, mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan ekonomi,” tambahnya.
Ekonomi Malaysia berkembang 5.1% (2023: 3.6%) dengan pasaran saham menunjukkan kekuatan yang ketara. Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan pertumbuhan dua angka +12.9% (2023: -2.7%), dan memuncak pada 1,678.80 mata pada Ogos, paras tertinggi sejak Disember 2020.
Prestasi global pula bercampur-campur, mencerminkan keadaan ekonomi yang pelbagai di seluruh wilayah. Bank pusat di seluruh dunia mengekalkan kadar faedah yang agak tinggi untuk membendung tekanan inflasi daripada tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun kadar yang lebih tinggi biasanya mempengaruhi penilaian ekuiti, mereka juga menyediakan peluang untuk pelaburan pendapatan tetap, yang membawa kepada kesan bercampur-campur ke atas pasaran saham.

Mohd Zuki menekankan bahawa ketidaktentuan pasaran yang dialami pada 2024 menekankan kepentingan Peruntukan Aset Strategik (SAA) KWSP dalam mengharungi keadaan ekonomi yang mencabar.
“SAA telah menjadi penting dalam mengekalkan prestasi portfolio yang stabil, memastikan daya tahan jangka panjang portfolio pelaburan KWSP. Dengan mengimbangi risiko dan pulangan, pendekatan ini bukan sahaja melindungi dana daripada ketidaktentuan pasaran tetapi juga menyokong pembayaran dividen yang mampan untuk ahli kami,” katanya.
Kelas aset Ekuiti menyumbang RM49.79 bilion selepas dihapuskira bersih, menyumbang 67% daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP dengan ROI sebanyak 9.90%. Peningkatan pendapatan, melepasi RM39.01 bilion yang dicatatkan pada 2023, didorong oleh pendekatan strategik dan tangkas pengurus dana dalam memanfaatkan keuntungan semasa tempoh turun naik pasaran, ditambah dengan prestasi teguh merentas pasaran ekuiti. Pada 2024, penurunan nilai bagi ekuiti tersenarai berjumlah RM0.72 bilion. Pelaburan Ekuiti Persendirian, yang mewakili hampir 10% daripada pelaburan ekuiti, menjana ROI sebanyak 11.33%.
Instrumen Pendapatan Tetap terus menjadi tunjang KWSP dalam mengekalkan pulangan yang stabil dan mengurangkan kesan ketidaktentuan pasaran jangka pendek. Kelas aset, kebanyakannya Sekuriti Kerajaan Malaysia, menyumbang RM21.91 bilion, atau 29% daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP untuk 2024, menghasilkan ROI sebanyak 4.27%. Pendapatan lebih tinggi yang dicatatkan berbanding 2023 sebanyak RM19.74 bilion adalah sejajar dengan saiz aset yang semakin meningkat.
Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan RM1.64 bilion, mencatatkan ROI sebanyak 5.13% pada asas mata wang tetap. Pendapatan daripada Instrumen Pasaran Wang ialah RM1.12 bilion, memberikan ROI sebanyak 1.89%. Memandangkan sebahagian besar pelaburan ini didenominasikan dalam mata wang bukan Ringgit, prestasi keseluruhan dipengaruhi oleh terjemahan pertukaran asing pada tahun tersebut apabila Ringgit mengukuh berbanding Dolar AS.
Instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 46.2% daripada aset pelaburan, manakala Ekuiti merangkumi 43.5%. Hartanah dan Infrastruktur serta Instrumen Pasaran Wang masing-masing membentuk 6.3% dan 4% daripada aset KWSP.
Sehingga Disember 2024, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1,249.71 bilion, di mana 63% daripadanya dilaburkan dalam negara. Pelaburan domestik menjana RM37.02 bilion, atau 49.7% daripada jumlah pendapatan pelaburan, yang memberikan kestabilan kepada keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP. Aset global menjana pendapatan RM37.44 bilion, atau 50.3%, daripada jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan.
Sejumlah RM63.59 bilion daripada RM74.46 bilion jumlah pendapatan pelaburan dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM10.87 bilion untuk Simpanan Sh
Sejumlah RM63.59 bilion daripada RM74.46 bilion jumlah pendapatan pelaburan dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM10.87 bilion untuk Simpanan Shariah.
Mulai Januari 2024, KWSP telah mengasingkan sepenuhnya portfolio Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah. Ini membolehkan setiap portfolio mengoptimumkan pulangannya dalam jangka panjang melalui peruntukan aset strategik bebas. Pemisahan itu juga meningkatkan kepelbagaian, memastikan aset di bawah Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional diagihkan dengan baik merentas kelas aset, geografi, pasaran dan industri untuk pulangan yang mampan.
Pertumbuhan Keahlian Mantap
KWSP mencatatkan pertumbuhan keahlian yang kukuh, sejajar dengan kekuatan pasaran buruh Malaysia. Pendaftaran ahli baharu mencecah 475,752, menjadikan keahlian KWSP kepada 16.22 juta, di mana 8.78 juta adalah ahli aktif1, mewakili 51% daripada 17.32 juta tenaga buruh Malaysia2. Nisbah ahli aktif kepada tidak aktif juga bertambah baik pada 2024 kepada 54:46.
Pertambahan ahli aktif didorong oleh usaha berterusan KWSP untuk meluaskan perlindungan. Tan Sri Mohd Zuki menekankan bahawa dengan meluaskan jangkauannya, KWSP memperkukuh perlindungan sosial dan keselamatan persaraan, memupuk keterangkuman dan daya tahan yang lebih besar. Tambahan pula, Program Outreach KWSP mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pencarum sukarela kepada 1,193,396, meningkat 32% daripada 902,213 pada 2023.
Program i-Saraan menyaksikan pengambilan kukuh pada 2024, dengan penyertaan meningkat 38% kepada 529,667 daripada 383,082 pada 2023, membolehkan lebih ramai pekerja sektor tidak formal menabung untuk persaraan. Jumlah sumbangan i-Saraan juga menyaksikan pertumbuhan ketara, meningkat 83% daripada RM1.44 bilion pada 2023 kepada RM2.64 bilion pada 2024.
Jumlah caruman pada 2024 meningkat 11% kepada RM108.22 bilion, mencerminkan peningkatan bilangan ahli, pertumbuhan gaji dan kepercayaan yang mampan dalam KWSP. Pendaftaran majikan baharu berjumlah 71,471, menjadikan jumlah majikan berdaftar seramai 614,563.
Tinjauan 2025
Persekitaran pelaburan menghadapi risiko yang lebih tinggi daripada geopolitik, tarif dan perang perdagangan, halangan bukan tarif, iklim, inflasi dan gangguan teknologi. Keluaran ekonomi global dan dasar bank pusat akan terjejas akibat perubahan corak perdagangan dan perpindahan daripada multilateralisme. Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pertumbuhan pelaburan dan eksport yang mampan.
Mohd Zuki mengesahkan komitmen KWSP terhadap pertumbuhan mampan, berpandukan Peruntukan Aset Strategik (SAA). Instrumen Pendapatan Tetap akan terus menambat portfolio, menyediakan kestabilan, manakala Ekuiti domestik akan memainkan peranan penting dalam menjana pulangan.
“Komitmen KWSP adalah untuk memberikan pulangan yang kukuh dan konsisten sambil mengekalkan peranannya sebagai institusi simpanan persaraan yang dipercayai. Semasa ekonomi berkembang, kami menguruskan risiko dengan teliti untuk memastikan kedua-dua keuntungan jangka pendek dan kestabilan jangka panjang, membolehkan kami menawarkan dividen yang adil dan kompetitif kepada lebih 16 juta ahli,” katanya.
Pengkreditan dividen untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan selesai hari ini.
pada Ahad, 2 Mac 2025.
Ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata mereka daripada Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.