Caruman 2% pekerja asing: Bukan satu solusi holistik tapi permulaan baik

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpandangan bahawa caruman KWSP kadar dua peratus terlalu rendah dan mungkin tidak berbaloi dari segi kutipan, pentadbiran, dan pelaburan jangka panjang.

Oleh Mohd Effendy Abdul Ghani

PANDANGAN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peritus bagi pekerja asing sehingga kajian lanjut dijalankan.

Keputusan ini adalah langkah awal ke arah memastikan hak pekerja asing terus terpelihara selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) C118 serta Artikel 68 Konvensyen 102 ILO, yang menetapkan prinsip hak sama rata perlindungan sosial kepada semua individu, termasuk bukan warganegara.

Namun, MTUC berpandangan bahawa kadar dua peratus terlalu rendah dan mungkin tidak berbaloi dari segi kutipan, pentadbiran, dan pelaburan jangka panjang.

Ia bukan satu penyelesaian yang menyeluruh, tetapi satu permulaan yang baik ke arah kadar caruman yang lebih saksama untuk semua pekerja, sama ada tempatan atau asing.

MTUC menegaskan bahawa tumpuan utama kerajaan haruslah memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja tempatan terus diperkukuhkan. Sebarang keputusan berkaitan kadar caruman KWSP tidak boleh menjejaskan faedah persaraan pekerja tempatan, yang merupakan tunjang tenaga kerja negara.

MTUC juga mengambil maklum kenyataan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang menyatakan bahawa kadar caruman dua peratus ini adalah satu kompromi bagi memastikan keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan perniagaan.

MTUC menegaskan bahawa majikan harus mengambil pendekatan yang lebih holistik dan tidak mengamalkan diskriminasi antara pekerja tempatan dan asing. MTUC berpandangan bahawa kadar caruman KWSP yang lebih rendah akan membolehkan majikan terus bergantung kepada tenaga kerja asing berbanding melabur dalam peningkatan produktiviti dan automasi. Ini bertentangan dengan objektif negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan meningkatkan daya saing industri dalam jangka panjang.

Sebaliknya, MTUC menggesa kerajaan untuk memperkukuh proses pemutihan majikan, di mana semua pekerja asing diwajibkan berdaftar dengan KWSP melalui majikan mereka. Ini akan membolehkan kerajaan mengenal pasti jumlah sebenar pekerja asing yang sah, memastikan semua pekerja mendapat perlindungan sosial minimum, dan mengelakkan eksploitasi serta manipulasi oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.

MTUC juga menegaskan bahawa perlindungan pekerja tempatan harus menjadi keutamaan utama kerajaan dalam membuat keputusan berkaitan dasar tenaga kerja.

Dalam jangka panjang, kadar caruman KWSP bagi pekerja asing perlu dikaji semula supaya selaras dengan kadar pekerja tempatan bagi mengelakkan jurang dalam perlindungan sosial dan memastikan kesaksamaan di tempat kerja.

Sebagai kesatuan yang memperjuangkan hak pekerja, MTUC akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengutamakan kebajikan pekerja tempatan sambil mengekalkan keadilan kepada pekerja asing yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Fokus utama kerajaan haruslah kepada memperkasakan hak dan faedah pekerja tempatan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang perubahan terhadap dasar pekerja asing. Jaminan keselamatan sosial dan peluang pekerjaan bagi pekerja tempatan perlu diutamakan dalam sebarang keputusan berkaitan tenaga kerja negara.

Nota: Mohd Effendy Abdul Ghani ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)