![](https://www.workerstimes.com/wp-content/uploads/2025/02/caruman-kwsp-pekerja-asing-1024x576.jpg)
KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memuji keputusan kerajaan yang menetapkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada kadar dua peratus untuk pekerja asing.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, keputusan terbaharu menunjukkan bahawa kerajaan telah mengambil kira pandangan majikan iaitu menjaga kepentingan kedua-dua pihak majikan dan pekerja.
“Tanpa membebankan para majikan penetapan kadar dua peratus ini merupakan satu bentuk keputusan yang wajar disambut baik.
“Malah ia menunjukkan kerajaan senantiasa mengambil kira pelbagai aspek dalam merealisasikan hak dan kepentingan pekerja, yang selaras dengan keperluan standard buruh yang telah ditetapkan oleh badan-badan pekerja antarabangsa, antaranya Konvensyen C118 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” kata beliau menerusi kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Pada 4 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua majikan yang menggaji pekerja asing perlu membayar caruman KWSP sebanyak dua peratus.
Kata beliau, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet untuk perbincangan lebih lanjut.
Katanya, kadar yang sangat rendah itu diyakini tidak membebankan majikan dan kerajaan akan terus menilai situasi semasa sebelum membuat sebarang perubahan.
![](https://www.workerstimes.com/wp-content/uploads/2025/02/SHAFIE-MAMMAL-GAJI-MINIMUM.jpeg)
Malah menurut beliau, keputusan terkini juga memperlihatkan kepimpinan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang senantiasa menitikberatkan kepentingan para pekerja di Malaysia, termasuk pekerja-pekerja asing.
“Malah, ia juga membuktikan bahawa Menteri Sumber Manusia terus bertindak out of the box, sekali gus menunaikan janji apabila dilantik untuk menerajui Kementerian Sumber Manusia,” kata beliau lagi.
Katanya lagi, tidak dapat dinafikan bahawa caruman mandatori dua peratus yang dicadangkan amat baik kerana ia satu bentuk obligasi sosial di pihak majikan.
“Pada masa yang sama, UNI-MLC juga berpandangan bahawa kerajaan perlu memperincikan klausa dan tata kelola yang membolehkan pekerja asing mengeluarkan simpanan KWSP sebaik pulang ke negara masing-masing tanpa perlu menunggu had umur hinggga 55 tahun,” kata beliau lagi.