
KUALA LUMPUR: Kemelut kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhadapan dengan ketidaksudahan ekoran tindakan terbaharunya memutuskan untuk melucutkan Presiden Mohd Effendy Abdul Ghani dan tidak dibenarkan untuk bertanding dalam pemilihan badan induk kesatuan sekerja selama enam tahun.
Dalam kenyataan media, Datuk Dauzkaply Nor Datuk Ghazali yang bertindak sebagai Pemangku Presiden berkata, berikut pelucutan jawatannya, Mohd Effendy tidak dibenarkan untuk mengguna, mewakili atau menghadiri apa-apa mesyuarat atau majlis atas kapasiti MTUC bermula 19 Januari lalu.
“Sebarang kenyataan daripada Mohd Effendy tidak boleh dianggap mewakili suara MTUC danbukan tanggungjawab MTUC.
“Sebarang kenyataan beliau yang mengaitkan nama organisasi MTUC dianggap mencemarkan nama organisasi MTUC,” kata beliau.
Sementara itu, Mohd Effendy mempersoalkan kenyataan media MTUC yang menggantungnya sebagai presiden kesatuan itu, sambil mendakwa keputusan itu sebagai tidah sah.
Dipetik FMT, Effendy yang juga Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkeranian Pos Semenanjung Malaysia menjelaskan mesyuarat Majlis Am MTUC 19 Januari lalu dibuat secara tidak sah.
Mohd Effendy memaklumkan dalam mesyuarat 19 Jan, mesyuarat tergempar diketuai Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor turut ‘melucutkan’ jawatan empat naib presiden dan setiausaha kewangan MTUC.
Pada 18 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa penggantungan Mohd Effendy sebagai Presiden MTUC tidak sah ekoran melanggar syarat-syarat yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Jawatankuasa Kerja MTUC dipetik berkata, perkara tersebut disahkan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (RoS) susulan tindakan penggantungan oleh Majlis Am kongres itu tidak selari dengan peruntukan undang-undang.
“Tindakan itu juga menunjukkan ketidakpatuhan terhadap keputusan mahkamah yang telah dikeluarkan.
“Justeru MTUC telah dimaklumkan oleh RoS untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan mahkamah,” kata Jawatankuasa Kerja MTUC.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Kerja MTUC turut memaklumkan, status keanggotaan Kamarul Baharin Mansur sebagai Setiausaha Agung juga terbatal berdasarkan pemakluman Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) bertarikh 10 Mei 2024 yang telah dikeluarkan untuk mengesahkan perkara berkenaan.
Justeru menurutnya, tiada komunikasi rasmi menggunakan jawatan tersebut boleh dilakukan kerana terdapat kekosongan pada kedudukan itu ketika itu.
“Selaras dengan pemakluman perintah mahkamah, pengisian kekosongan jawatan yang kini dikosongkan atau telah dibatalkan keahliannya adalah tidak dibenarkan.
“Sebarang usaha untuk mengisi mana-mana jawatan pada waktu ini dianggap sebagai keputusan dasar yang melanggar perintah mahkamah,” kata jawatankuasa itu.