KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) percaya bahawa untuk menyelamatkan Malaysia dan Rakyat, perlu ada pendekatan “but semula kehidupan kita dengan berkongsi, prihatin, menilai kembali tindakan kita dan membuka minda untuk membantu mereka yang memerlukan.”
Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, hanya apabila kita dapat melihat 20% rakyat Malaysia berhenti daripada memperkayakan diri mereka sendiri berbanding 80% rakyat Malaysia yang serba kekurangan, rakyat Malaysia yang akan bersatu untuk keamanan dan keharmonian.
Kata beliau, hanya apabila rakyat Malaysia yang kaya dan berkuasa sanggup memberi dan menghormati hak asasi semua orang, terutama rakyat Malaysia miskin dan lemah, “kita akan dapat melihat keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.”
Solomon berkata, jika keadaan itu wujud, ia akan menyelamatkan rakyat dan Malaysia, sekali gus memberi makna sebenar selari dengan slogan “Kita Jaga Kita”.
“Malaysia merupakan sebuah negara yang dikurniakan dengan segala sumber dan kekayaan oleh Tuhan, dan kita berbangga sebagai rakyat Malaysia.
“Prinsip pertama Rukun Negara ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’, yang menjamin kebebasan kepercayaan bagi semua agama.
“Penghormatan yang diberikan kepada prinsip ini dan dengan amalan toleransi yang tinggi antara kaum, kita semua berhasrat untuk mencapai perpaduan yang lebih jitu bagi semua rakyat Malaysia yang ingin hidup dengan aman dan harmoni, tanpa mengira agama dan budaya yang berbeza,” kata beliau dalam perutusan yang disiarkan dalam FB NUBE.
Kata beliau lagi, pandemik Covid-19, antara lain, telah menjejaskan kehidupan kita, meragut nyawa orang yang disayangi dan memperluaskan penjarakan sosial di antara kita.
“Kita tahu bahawa, sebelum pandemik Covid-19 yang membawa maut, mereka yang kaya dan berkuasa telah menggugat kehidupan rakyat Malaysia yang miskin dan lemah, merompak sumber mata pencarian mereka, bahkan kadangkala kehidupan orang yang kita sayangi dan membawa kepada penjarakan sosial atas nama, antara lain agama, kaum dan kekayaan,” katanya.
Malah kata beliau, pihak berkuasa juga telah memperkenalkan pelbagai dasar dan menguatkuasakan banyak undang-undang, tetapi tidak ada jaminan dapat menghapuskan jurang, ketidaksamarataan pendapatan dan pelbagai bentuk ketidakadilan yang lain.
“Adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila kita melihat ramai rakyat Malaysia yang terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan makanan, tidak cukup tempat untuk pesakit-pesakit Covid-19 dan rawatan perubatan awam yang tidak mencukupi di negara yang dirahmati ini.
“Di sebalik pelbagai cabaran, bukan hanya disebabkan oleh virus, tetapi juga yang dicetuskan oleh mereka yang kaya dan mereka yang berkuasa, dan termasuk mempunyai tiga orang Perdana Menteri dalam tempoh kurang dari empat tahun, Tuhan tidak membinasakan Malaysia,” kata beliau.