MTUC pandang serius isu pekerja Kawaguchi Manufacturing tidak dibayar gaji

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memandang serius isu tunggakan gaji pekerja Kawaguchi Manufacturing Sdn. Bhd., yang melibatkan 251 pekerja warganegara Bangladesh dan seorang dari Nepal. – Foto ishan PSM

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memandang serius isu tunggakan gaji pekerja Kawaguchi Manufacturing Sdn. Bhd., yang melibatkan 251 pekerja warganegara Bangladesh dan seorang dari Nepal.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, dari Ogos hingga November lalu, pekerja-pekerja terbabit tidak menerima pembayaran gaji berjumlah keseluruhan RM2,181,773.95.

“Tindakan bantahan oleh pekerja di hadapan kilang pada 13 dan 14 Disember (lalu) menggambarkan kekecewaan terhadap kelewatan pembayaran gaji mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Selain itu, kata beliau, seramai 57 pekerja telah memfailkan tuntutan kes buruh dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM806,310.00, dan sebutan kes dijadualkan berlangsung di Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang, hari ini.

Tambah beliau, MTUC menghargai usaha Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang yang telah membuka lapan kertas siasatan untuk mendakwa majikan atas pelbagai kesalahan, termasuk kelewatan pembayaran gaji, pelanggaran Akta 446 berhubung perakuan penginapan, dan pembayaran gaji secara tunai.

“Kami turut mengalu-alukan tindakan segera pihak berkuasa dalam memastikan keadilan ditegakkan,” kata beliau lagi.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, MTUC amat prihatin terhadap cadangan pelaksanaan pertukaran majikan khas (PTM) bagi pekerja asing yang terjejas.

“Hanya 204 daripada 251 pekerja memiliki permit kerja yang sah, mencerminkan kelemahan pengurusan oleh pihak majikan,” katanya.

Sehubungan dengan itu katanya, MTUC menegaskan bahawa hak pekerja mesti dilindungi, dan pembayaran gaji tertunggak perlu diselesaikan sepenuhnya sebelum akhir Disember 2024.

“Pihak majikan juga (perlu) bertanggungjawab memastikan kebajikan pekerja, termasuk penyediaan tempat tinggal dan makanan, sehingga isu ini selesai sepenuhnya,” kata beliau.

Katanya, MTUC menyeru Kementerian Sumber Manusia dan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan pelaksanaan penyelesaian yang adil, termasuk pemantauan ketat terhadap cadangan pertukaran majikan khas dan pelaksanaan pembayaran gaji tertunggak secara berperingkat.

“Kami komited untuk terus membela hak pekerja dan memantau perkembangan kes ini dengan teliti demi memastikan keadilan ditegakkan,” kata beliau.