MGKP tidak bantah AI tapi mahu hak pekerja Pos Malaysia terus dilindungi

Majlis Gabungan Kesatuan Sekerja Pos (MGKP) menyambut baik kenyataan bahawa penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) tidak akan menggantikan peranan posmen dan memastikan tiada pekerja Pos Malaysia yang akan kehilangan pekerjaan akibat kemajuan ini. – Foto ihsan Pos Malaysia

Oleh Mohd Effendy Abdul Ghani

PANDANGAN: Majlis Gabungan Kesatuan Sekerja Pos (MGKP) menyambut baik kenyataan bahawa penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robot, dan dron tidak akan menggantikan peranan posmen dan memastikan tiada pekerja Pos Malaysia yang akan kehilangan pekerjaan akibat kemajuan ini.

Kami menghargai komitmen kerajaan, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Komunikasi, bahawa teknologi akan digunakan untuk memperkukuh keupayaan perkhidmatan Pos Malaysia tanpa menjejaskan peluang pekerjaan sedia ada.

Kenyataan Menteri Komunikasi ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan pekerja dalam era transformasi digital.

Ia juga membuktikan komitmen untuk memastikan bahawa peralihan teknologi tidak akan mengorbankan kebajikan pekerja, sebaliknya digunakan untuk mempertingkatkan kecekapan dan memperluaskan rangkaian perkhidmatan Pos Malaysia. MGKP amat menghargai pendirian ini, yang seiring dengan usaha kami untuk melindungi hak pekerja dalam sektor pos.

MGKP ingin menegaskan bahawa walaupun penggunaan teknologi dalam operasi Pos Malaysia adalah langkah positif untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan, ia perlu diselaraskan dengan memastikan semua pekerja mendapat manfaat daripada perubahan tersebut. Oleh itu, kami mencadangkan agar pihak syarikat dapat menyediakan program latihan berstruktur yang melibatkan konsep peningkatan kemahiran seperti reskilling dan upskilling.

Latihan semula adalah penting bagi membantu pekerja menguasai kemahiran baru yang mungkin diperlukan apabila teknologi seperti AI, robot, dan dron diterapkan. Ini memastikan pekerja sedia ada boleh menyesuaikan diri dengan tugas-tugas baru dan terus relevan dalam suasana kerja yang berubah.

Sementara itu, upskilling memberi peluang kepada pekerja untuk mempertingkatkan kemahiran sedia ada, yang mana dapat meningkatkan produktiviti dan kebolehan mereka dalam mengendalikan teknologi baru. Langkah-langkah ini akan memastikan pekerja kekal kompetitif dalam pasaran pekerjaan serta memastikan kelangsungan syarikat dalam menghadapi cabaran industri.

MGKP juga komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak syarikat dan pengurusan dalam memastikan pelaksanaan teknologi baharu berjalan lancar. Kami percaya bahawa melalui dialog terbuka dan perbincangan berterusan antara MGKP, pihak syarikat, dan pengurusan serta kerajaan, kita dapat mencapai keseimbangan yang terbaik antara inovasi teknologi dan kebajikan pekerja. Kerjasama ini adalah penting untuk memastikan bahawa semua perubahan dilakukan dengan adil dan mengambil kira pandangan serta kebajikan pekerja.

Selain itu, MGKP menyeru agar kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memastikan wujudnya persaingan yang adil dalam industri kurier. Langkah ini penting agar para pelanggan dapat membuat pilihan berdasarkan keperluan dan kesesuaian mereka, tanpa sebarang sekatan atau monopoli oleh mana-mana pihak.

Kami juga menegaskan bahawa pengawalan kewujudan syarikat kurier perlu diteliti dan dikawal dengan baik. Ini bagi mengelakkan lambakan syarikat kurier yang mungkin mengakibatkan persaingan tidak sihat, yang seterusnya boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan dan kedudukan pekerja dalam industri ini.

MGKP percaya bahawa melalui pengawalan yang rapi dan seimbang, sektor kurier dapat berkembang secara mampan dengan mengambil kira kebajikan pekerja dan keperluan pelanggan. Langkah ini juga dapat memastikan bahawa pihak yang terlibat dalam industri kurier mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi, serta menawarkan perkhidmatan yang mematuhi standard yang telah ditetapkan.

MGKP ingin mengingatkan bahawa penggunaan teknologi tidak seharusnya hanya ditumpukan kepada peningkatan kecekapan operasi, tetapi juga perlu dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan taraf hidup pekerja melalui penambahbaikan dalam persekitaran kerja dan peluang peningkatan kerjaya.

Kami percaya bahawa melalui kerjasama yang erat antara pihak majikan, kerajaan, kesatuan pekerja, serta syarikat dan pengurusan, kita dapat mencapai keseimbangan antara kemajuan teknologi dan kesejahteraan pekerja.

MGKP komited untuk memastikan bahawa setiap pekerja Pos Malaysia terus diberi perlindungan yang sewajarnya serta mendapat peluang yang sama rata untuk berkembang dalam suasana kerja yang semakin berubah ini.

Mohd Effendy Abdul Ghani ialah Pengerusi Majlis Gabungan Kesatuan Sekerja POS (MGKP) dan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkeranian Pos Malaysia Semenanjung Malaysia (UPCW)